Politik Malaysia tidak lagi boleh dimenangi dengan ketakutan kaum – Suhaimi

MUTAKHIR ini, landskap politik negara menyaksikan persaingan yang semakin sengit.

Ketua Penerangan PKR Pahang, Datuk Dr Suhaimi Ibrahim berkata, dalam keadaan sedemikian, semakin lantang kedengaran suara-suara yang cuba membangkitkan sentimen perkauman, keagamaan dan kebimbangan terhadap kedudukan serta hak Bumiputera sebagai jalan mudah untuk meraih sokongan politik.

Katanya, strategi politik sebegini bukanlah sesuatu yang baharu. Namun dalam realiti Malaysia hari ini, pendekatan yang berteraskan ketakutan dan perpecahan tidak lagi sesuai untuk membina sebuah negara yang stabil dan maju.

“Malaysia ialah sebuah negara majmuk yang dibina atas semangat muafakat dan tolak ansur. Keamanan dan kestabilan yang kita nikmati hari ini tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya terhasil daripada kesediaan pelbagai kaum dan agama untuk hidup bersama dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

“Kepelbagaian yang ada bukan kelemahan, sebaliknya kekuatan yang menjadi asas kepada pembinaan negara bangsa Malaysia.

“Tidak ada sesiapa yang mempertikaikan bahawa hak dan kedudukan Bumiputera seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan perlu terus dipelihara dan dipertahankan,” katanya.

Jelasnya lagi, pada masa yang sama, setiap rakyat Malaysia juga perlu merasakan bahawa mereka mempunyai tempat dan peluang dalam pembangunan negara.

Keseimbangan antara mempertahankan kedudukan Bumiputera dan menjamin keadilan kepada semua rakyat inilah yang menjadi tunjang kepada perpaduan nasional dan kestabilan politik yang berkekalan.

“Apabila rakyat merasakan mereka dilayan secara adil dan mempunyai kepentingan bersama dalam negara ini, maka semangat kebersamaan akan menjadi lebih kukuh dan usaha pihak tertentu untuk menanam bibit perpecahan akan sukar mendapat tempat.

“Realiti politik selepas 2018 menunjukkan bahawa tiada lagi satu parti atau gabungan yang mampu mendominasi politik negara secara mutlak seperti dahulu,” ujarnya.

Landskap politik yang baharu ini menuntut pendekatan yang berbeza. Malaysia kini memerlukan kepimpinan yang mampu merapatkan jurang perbezaan, membina persefahaman dan mengurus kepelbagaian dengan penuh kebijaksanaan.

Jelasnya lagi, dalam era politik baharu, kemampuan membina konsensus dan menyatukan rakyat jauh lebih penting daripada retorik yang memecah-belahkan masyarakat.

“Negara memerlukan seorang pemimpin yang bukan sahaja mampu mentadbir kerajaan, tetapi juga berupaya menjadi jambatan antara pelbagai kaum, agama dan fahaman politik.

“Pada pandangan saya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai keupayaan tersebut.

“Pengalaman panjang beliau dalam politik, kesediaannya membentuk Kerajaan Perpaduan dan pendekatan yang menekankan dialog serta kesederhanaan menjadikan beliau antara pemimpin yang paling berkemampuan untuk memimpin Malaysia dalam suasana politik yang semakin kompleks,” katanya.

Kejayaan membentuk Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 merupakan bukti bahawa politik Malaysia kini memerlukan pemimpin yang mampu membina persefahaman merentasi sempadan politik dan ideologi.

Dalam keadaan negara berdepan pelbagai cabaran ekonomi dan geopolitik, kestabilan politik menjadi prasyarat penting untuk menjamin keyakinan pelabur, pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Atas sebab itu, saya melihat Pakatan Harapan sebagai gabungan yang paling sesuai untuk menghadapi realiti politik semasa.

“Dengan komposisi kepimpinan dan sokongan yang merentasi pelbagai kaum, gabungan ini mempunyai asas yang lebih kukuh untuk membina sebuah pentadbiran yang inklusif, tanpa mengabaikan prinsip-prinsip asas negara,” katanya.

Pakatan Harapan juga dilihat mampu mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, memelihara hak-hak Bumiputera serta menjamin hak sah semua warganegara sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Inilah formula yang diperlukan Malaysia pada hari ini iaitu sebuah kerajaan yang inklusif, stabil dan mampu mengurus kepelbagaian dengan baik.

Dalam era politik yang semakin mencabar, ukuran kejayaan sesebuah kerajaan bukan lagi sekadar jumlah kerusi yang dimenangi atau kehebatan retorik politik.

Kejayaan sebenar ialah kemampuan mengekalkan keamanan, memupuk perpaduan, mengukuhkan ekonomi dan memastikan setiap rakyat mempunyai keyakinan terhadap masa depan negara.

Malaysia tidak memerlukan politik yang menakut-nakutkan rakyat dengan sentimen perkauman dan agama.

“Sebaliknya, negara memerlukan politik yang menyatukan, mengangkat nilai kesederhanaan dan membina keyakinan bahawa masa depan yang lebih baik boleh dicapai bersama.

“Itulah cabaran yang perlu terus dipikul demi Malaysia yang lebih stabil, makmur dan bersatu,” ujarnya.

Related Posts

PRN Johor: Anak muda pulanglah mengundi pada 11 Julai nanti

MUAR – Pengundi khususnya anak muda yang berada di luar negeri termasuk di Singapura, digesa pulang menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 11 Julai ini. Menteri Komunikasi,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Fahmi pelawa Onn Hafiz, Maszlee dialog di RTM

MUAR – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan calon Pakatan Harapan (PH), Dr Maszlee Malik dipelawa untuk mengadakan dialog secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM) TV1 bagi…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

PRN Johor: Anak muda pulanglah mengundi pada 11 Julai nanti

PRN Johor: Anak muda pulanglah mengundi pada 11 Julai nanti

Pengundi PRN Johor diingatkan waspada taktik sabotaj digital, akaun palsu

Pengundi PRN Johor diingatkan waspada taktik sabotaj digital, akaun palsu

Fahmi pelawa Onn Hafiz, Maszlee dialog di RTM

Fahmi pelawa Onn Hafiz, Maszlee dialog di RTM

Pelaburan JS-SEZ hampir RM77 bilion bukti keyakinan pelabur kekal tinggi

Pelaburan JS-SEZ hampir RM77 bilion bukti keyakinan pelabur kekal tinggi

Malaysia bantah dwistandard Barat dalam pematuhan undang-undang antarabangsa

Malaysia bantah dwistandard Barat dalam pematuhan undang-undang antarabangsa

Ekonomi Selangor cecah RM460.1 bilion, sumbang 26.5 peratus kepada KDNK negara

Ekonomi Selangor cecah RM460.1 bilion, sumbang 26.5 peratus kepada KDNK negara