
KUCHING – Parti Tindakan Demokratik (DAP) buat pertama kalinya telah meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.01 Opar sejak kawasan itu diwujudkan menerusi persempadanan semula pada 2005 dan mula dipertandingkan pada 2006.
Calonnya Lim Nee Kon berkata, penyertaan sulung DAP di kawasan berkenaan merupakan peluang untuk membawa suara masyarakat Opar, termasuk komuniti Dayak.
Beliau berkata penerimaan amanah sebagai calon parti itu disertai tanggungjawab untuk memahami keperluan penduduk, menyuarakan permasalahan setempat serta memperjuangkan kepentingan masyarakat pelbagai latar belakang.
“Perjuangan yang dibawa DAP berteraskan integriti, keadilan, ketelusan dan akauntabiliti, dengan penekanan terhadap tanggungjawab kerajaan untuk sentiasa dipantau serta dipertanggungjawabkan kepada rakyat.
“Antara isu yang memerlukan perhatian serius di Opar adalah termasuk hak tanah, kemudahan asas, pendidikan, peluang ekonomi dan pembangunan luar bandar,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata isu berkenaan akan dibawa ke peringkat negeri bagi memastikan keperluan serta kepentingan masyarakat Opar mendapat perhatian sewajarnya.
Lim turut menghormati semua calon yang bertanding dalam persaingan empat penjuru, termasuk penyandang kerusi berkenaan iaitu calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Billy Sujang.
Beliau berkata pilihan raya bukan sekadar persaingan antara calon dan parti politik, sebaliknya perlu menjadi ruang untuk membincangkan hala tuju serta masa depan masyarakat setempat.
Lim turut menyatakan kesediaannya menghadapi persaingan secara demokratik dan bermaruah, sambil menegaskan komitmennya untuk memperjuangkan hak serta kepentingan masyarakat Opar tanpa mengira tekanan politik.



