
KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua mempersoalkan keperluan siasatan berhubung dakwaan kebocoran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan, dengan menegaskan dokumen berkenaan sudah dinyahklasifikasikan.
Beliau turut menggesa pihak yang membangkitkan isu itu, termasuk UMNO dan Pas, supaya memahami kedudukan undang-undang sebelum mempersoalkan tindakan mendedahkan kandungan dokumen berkenaan.
“Saya memberikan kerjasama sepenuhnya. Pada pandangan saya, perkara ini sebenarnya tidak perlu disiasat kerana dokumen berkenaan sudah dinyahklasifikasikan.
“Menteri juga sudah menjawab perkara itu di Parlimen dan mengesahkan bahawa dokumen tersebut telah dinyahklasifikasikan. Jadi, apa lagi yang hendak disiasat?” katanya selepas selesai memberi keterangan kira-kira 45 minit di Bukit Aman pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keterangannya dirakam berhubung hantaran Facebook yang diterbitkan pada 18 November lalu, yang memaparkan beberapa halaman minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berserta penjelasan mengenai kandungannya.
Menurutnya, antara perkara yang ditanya pegawai penyiasat ialah kandungan hantaran berkenaan, termasuk penggunaan gelaran ‘king kleptocrat’ dalam penulisannya.
“Saya menjelaskan bahawa saya hanya menterjemahkan kandungan minit mesyuarat tersebut ke dalam bahasa Inggeris.
“Apabila ditanya siapa yang saya maksudkan sebagai ‘king kleptocrat’, saya merujuk kepada Najib Razak kerana beliau merupakan seorang pesalah yang telah disabitkan dan menjalani hukuman penjara berhubung kes pengubahan wang haram, pecah amanah serta penyalahgunaan kuasa,” katanya.
Beliau menegaskan, hantaran itu bukan bertujuan menegur atau mengkritik mana-mana individu yang disebut dalam dokumen berkenaan, sebaliknya sekadar menyampaikan kandungan minit mesyuarat tersebut.
“Saya tidak menafikannya, bagaimanapun, sekiranya terdapat sebarang kesalahan, saya akan menjawabnya di mahkamah,” katanya.
Tony turut memaklumkan kesnya membabitkan Seksyen 203A dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

