Gobind Singh Deo
PUTRAJAYA – Kementerian Digital menyasarkan sumbangan ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 30 peratus menjelang 2030 menerusi Pelan Strategik Kementerian Digital (PSKD) 2026-2030.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, sasaran itu adalah antara lima matlamat strategik kementerian bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Malaysia juga disasarkan berada dalam kelompok 20 negara teratas dunia berdasarkan Indeks Pembangunan Kerajaan Elektronik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan PSKD 2026-2030, baru-baru ini.
Selain itu, negara disasarkan berada dalam kelompok 10 teratas dari aspek kesediaan kecerdasan buatan (AI) dan 25 teratas dunia dalam penilaian IMD World Digital and AI.
Kementerian turut menyasarkan sekurang-kurangnya 85 peratus kepuasan pengguna terhadap perkhidmatan digital kerajaan menjelang tempoh sama.
Gobind berkata, pelan itu menetapkan visi kementerian sebagai Peneraju Agenda Pendigitalan Negara dengan misi memperkukuh ekosistem digital yang inklusif, teguh dan berdaya saing di peringkat global.
Ia dibangunkan selari dengan Rancangan Malaysia Ketiga Belas dan Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030.
Bagi mencapai sasaran berkenaan, PSKD 2026-2030 digerakkan menerusi lima teras strategik iaitu Kerajaan Digital, Ekonomi Digital, Masyarakat Digital, Kepercayaan Ekosistem Digital dan Tadbir Urus Digital.
Teras Kerajaan Digital memberi tumpuan kepada pendigitalan perkhidmatan kerajaan, integrasi sistem dan perkongsian data.
Teras Ekonomi Digital pula merangkumi pembangunan infrastruktur digital, peningkatan pelaburan, inovasi teknologi serta pembangunan industri.
Tiga teras lain menekankan peningkatan literasi dan kemahiran digital rakyat, keselamatan siber serta perlindungan data peribadi, selain pengukuhan dasar dan penyelarasan institusi berkaitan pendigitalan.
Pelaksanaan pelan itu menggunakan pendekatan Whole-of-Government yang menekankan kerjasama dan penyelarasan dasar merentas kementerian, agensi serta pihak berkepentingan.
Setiap teras akan diterjemahkan melalui pelan tindakan yang memperincikan inisiatif, aktiviti, petunjuk prestasi utama, sasaran, agensi peneraju dan pelaksana serta tempoh masa ditetapkan.



