
MATU – Peruntukan keseluruhan berjumlah hampir RM1 juta disalurkan bagi membekalkan kemudahan papan pintar (smart board) ke sekolah-sekolah di seluruh kawasan Parlimen Igan bagi memperkasakan kualiti pembelajaran digital pelajar luar bandar.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, pelaksanaan inisiatif teknologi pendidikan berkenaan kini memasuki fasa ketiga dengan tempahan sebanyak 23 unit papan pintar lagi yang setiap satunya bernilai RM12,500.
Menurutnya, penyediaan peralatan pembelajaran moden tersebut telah pun diagihkan menerusi fasa pertama dan kedua sebelum ini melibatkan lebih 40 unit papan pintar bagi memudahkan murid memahami subjek yang diajar di dalam kelas.

“Mengapa dana yang ada kita gunakan untuk membeli papan pintar? Ini kerana kita mahu menyediakan kemudahan terbaik supaya anak-anak luar bandar dapat belajar dan memahami apa yang diajar oleh guru dengan lebih mudah serta berkesan.
“Guru besar, warga pendidik mahupun wakil rakyat datang dan pergi silih berganti, namun yakinlah bahawa anak-anak inilah yang akan mencorakkan pembangunan serta ketamadunan Kampung Sok dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar dan Apresiasi Sesi Akademik 2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Sok, di sini, pada Sabtu.
Sementara itu, Ahmad Johnie berkata, pembangunan sahsiah dan aktiviti kokurikulum merupakan proses berterusan yang amat penting bagi membentuk karakter serta keyakinan diri murid untuk tampil berani di khalayak ramai.
Justeru, beliau sentiasa menyokong permohonan peruntukan aktiviti kokurikulum daripada pihak sekolah tanpa had kerana pelaburan terhadap pendidikan merupakan wakaf ilmu yang berpanjangan.
Pada masa sama, beliau menyeru warga pendidik dan ibu bapa agar menerapkan nilai ihsan serta keikhlasan dalam menjalankan amanah mendidik generasi muda demi melahirkan modal insan yang berilmu, berbakti, dan berakhlak mulia.
Majlis yang dihadiri kira-kira 100 tetamu itu turut menyaksikan penyampaian anugerah khas kepada murid merangkumi Anugerah Sahsiah Terbaik, Anugerah Ikon Sukan, Anugerah Tokoh NILAM, serta Anugerah Permata Kecemerlangan Murid.



