BUKIT NANING – Keperluan menyediakan kemudahan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Bukit Naning menjadi antara harapan utama penduduk yang mahu kemudahan asas itu direalisasikan bagi memudahkan urusan harian masyarakat setempat.
Penduduk yang dianggarkan melebihi 3,000 orang kini terpaksa bergerak sejauh kira-kira 25 kilometer untuk mengeluarkan wang tunai. Keadaan itu bukan sahaja membebankan, malah menyukarkan urusan harian terutama golongan warga emas, peniaga kecil dan penduduk yang tidak menggunakan perkhidmatan perbankan dalam talian.
Seorang penduduk, Azharuddin Bakhtiar berkata, kewujudan sebuah mesin ATM di Bukit Naning bukan lagi satu kemewahan, sebaliknya satu keperluan asas yang amat dinantikan oleh masyarakat setempat.
“Kami berharap sebuah mesin ATM dapat disediakan di Bukit Naning supaya penduduk tidak lagi perlu pergi jauh semata-mata untuk mengeluarkan wang tunai. Kemudahan ini sudah lama dinantikan dan pastinya memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.
Menurut beliau, lokasi stesen minyak di Bukit Naning yang berhadapan Klinik Kesihatan Bukit Naning merupakan tempat paling sesuai untuk menempatkan mesin ATM kerana kedudukannya yang strategik, mudah diakses dan sentiasa menjadi tumpuan orang ramai.
Sementara itu, calon Pakatan Harapan (PH) N.14 Bukit Naning, Md Ysahrudin Kusri berkata, beliau mengambil maklum harapan yang disuarakan penduduk dan komited untuk membawa perkara tersebut kepada pihak bank serta agensi berkaitan sekiranya diberi mandat oleh rakyat.
“Saya memahami kesukaran yang dihadapi penduduk. Kemudahan ATM bukan sahaja memudahkan urusan pengeluaran wang tunai, malah mampu merancakkan aktiviti ekonomi setempat serta meningkatkan akses kepada perkhidmatan kewangan. Saya akan berusaha membawa perkara ini kepada pihak berkaitan agar hasrat penduduk Bukit Naning dapat direalisasikan,” katanya.
Beliau berkata, penyediaan sebuah mesin ATM di Bukit Naning bukan sahaja dapat menjimatkan masa dan kos perjalanan penduduk, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi setempat serta meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat.
Md Ysahrudin menegaskan bahawa suara dan keperluan rakyat akan terus menjadi keutamaan, selaras dengan komitmen beliau untuk memperjuangkan kemudahan asas yang mampu meningkatkan kesejahteraan penduduk di Bukit Naning.



