
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak Persatuan Bekas Pelajar Kolej Melayu (MCOBA) memainkan peranan lebih aktif dalam meneliti perancangan kerajaan, termasuk mengemukakan teguran dan pandangan secara terbuka.
Beliau mahu wakil alumni MCOBA dikenal pasti bagi meneliti perancangan kerajaan serta menyampaikan pandangan, teguran dan sanggahan melalui ruang yang akan disediakan.
“Saya mahu mereka berterus terang tentang kelemahan yang perlu kita perbaiki,” katanya menerusi hantaran di Facebook selepas menghadiri Majlis Makan Malam Tahunan MCOBA, malam tadi.

Dalam ucapannya, Anwar turut menyambut gesaan Presiden MCOBA supaya semua pihak merenung kembali soal amanah, khususnya susulan pelbagai kepincangan pengurusan institusi negara yang diwarisi kerajaan.
Beliau membangkitkan isu membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Lembaga Tabung Haji sebagai peringatan mengenai kesan penyalahgunaan kuasa.
Katanya, berbilion ringgit yang sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk pembangunan sekolah dan hospital akhirnya terpaksa digunakan bagi menampung kerugian serta membayar hutang.
“Amanah itu mengingatkan saya pada semangat Fiat Sapientia Virtus yang kita warisi di Kolej Melayu, dan pesan Saidina Ali bahawa setiap insan ialah saudara kita, sama ada dalam agama atau sesama manusia.
“Di situlah makna karamah insaniah. Kuasa yang diamanahkan kepada kita mesti digunakan dengan bijaksana untuk menegakkan keadilan dan memelihara martabat setiap insan.
“Atas semangat itu, saya mengajak MCOBA mengenal pasti wakil alumni untuk meneliti perancangan Kerajaan dan mengemukakan pandangan, teguran serta sanggahan melalui ruang yang akan disediakan. Saya mahu mereka berterus terang tentang kelemahan yang perlu kita perbaiki,” katanya.
Mengimbau kenangan bersama rakan-rakan lama dalam majlis berkenaan, Anwar berkata suasana pertemuan itu seolah-olah membawanya kembali ke Kuala Kangsar ketika zaman persekolahan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pimpinan MCOBA dan semua sahabat yang hadir, sambil berharap hubungan yang terjalin sejak bangku sekolah menjadi asas untuk saling menegur demi kebaikan bersama, termasuk terhadap dirinya sendiri.


