PUTRAJAYA – Percaturan UMNO untuk menyingkirkan Datuk Ismail Lasim daripada kerusi Menteri Besar Negeri Sembilan dan mengangkat Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias sebagai pengganti dilihat berakhir dengan kegagalan.
Penganalisis politik dan undang-undang, Dr Siti Maisarah Abd Rahman berkata, pengekalan Ismail sebagai Menteri Besar membuktikan perancangan politik UMNO tidak berjalan seperti diharapkan, malah memperlihatkan parti itu tersalah percaturan dalam membaca kedudukan politik serta institusi pemerintahan negeri.
Menurutnya, perkembangan itu sepatutnya menjadi isyarat kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinan parti supaya menerima hakikat bahawa usaha mengubah kepimpinan negeri tidak mendapat hasil yang diinginkan.
“Perkembangan ini boleh dianggap sebagai kemunduran kepada usaha mendapatkan perubahan kepimpinan negeri, khususnya apabila nama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias turut dikaitkan dengan kemungkinan mengambil alih jawatan Menteri Besar.
“Apa yang berlaku di Negeri Sembilan merupakan satu peringatan kepada parti politik bahawa kuasa politik tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya sehingga mengabaikan institusi yang menjadi sebahagian daripada asas pemerintahan negeri. Dalam sistem Raja Berperlembagaan, parti politik mempunyai peranan, tetapi peranan itu tetap tertakluk kepada Perlembagaan dan undang-undang.
“Ahmad Zahid dan UMNO perlu menerima realiti politik ini, bukannya terus memanjangkan kemelut yang akhirnya hanya merugikan pentadbiran serta rakyat Negeri Sembilan,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.
Beliau berkata, kegagalan mengangkat Jalaluddin turut mendedahkan kelemahan UMNO dalam memahami batas kuasa politik, khususnya apabila perancangan parti tidak mengambil kira kedudukan institusi diraja dalam sistem pemerintahan negeri.

Beliau berpandangan, parti politik tidak boleh menganggap pengaruh dan sokongan wakil rakyat sebagai lesen untuk menentukan segala-galanya kerana sistem Raja Berperlembagaan menetapkan batas kuasa yang perlu dipatuhi.
“Ini satu peringatan kepada parti politik bahawa kuasa politik tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya hingga mengabaikan institusi menjadi sebahagian daripada asas pemerintahan negeri. Dalam sistem Raja Berperlembagaan, parti politik ada peranan, tetapi tetap tertakluk kepada Perlembagaan dan undang-undang.
“Lebih memalukan, UMNO kini perlu berhadapan dengan hakikat bahawa usaha menukar Menteri Besar bukan sahaja tidak berjaya, malah menimbulkan persoalan mengenai kematangan kepimpinan parti dalam menguruskan hubungan dengan institusi diraja,” katanya.
Dalam pada itu, Siti Maisarah berkata, UMNO bukan sekadar alami kegagalan percaturan politik namun mencetuskan persoalan mengenai kematangan kepimpinan parti itu dalam menguruskan hubungan dengan institusi diraja.
Katanya, pertikaian itu sudah melangkaui persaingan antara parti apabila tindakan sebahagian wakil rakyat mempertikaikan kedudukan pemerintah negeri menimbulkan persoalan serius mengenai penghormatan terhadap institusi Yang di-Pertuan Besar.
“Ahli politik perlu memahami bahawa mandat parti tidak memberikan kuasa mutlak untuk menentukan semua perkara dalam sistem pemerintahan berperlembagaan. Terdapat batas kuasa, prosedur dan tanggungjawab yang mesti dihormati.
“Kejayaan membentuk semula barisan Exco bukan bermakna segala masalah sudah selesai. Ismail perlu membuktikan bahawa kerajaan negeri mampu berfungsi dengan baik, terutama selepas hampir 68 hari pentadbiran tanpa barisan Exco yang lengkap,” katanya.



