
KOTA KINABALU – Warga pendidik Sabah terus membuktikan kecemerlangan apabila meraih pelbagai pengiktirafan di peringkat kebangsaan sempena Sambutan Hari Guru Kebangsaan 2026 serta mengukir kejayaan dalam pertandingan inovasi antarabangsa di Indonesia.
Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, kejayaan yang diraih para guru berkenaan membuktikan warga pendidik negeri ini sentiasa berada di barisan hadapan dalam menerajui kecemerlangan pendidikan, inovasi, kepimpinan, kesukarelawanan serta pengorbanan demi memastikan kemenjadian murid dapat direalisasikan.
“Sesungguhnya, kejayaan penerima-penerima Anugerah Hari Guru Kebangsaan tahun ini membuktikan bahawa MAPenS telah berjaya menjadi wadah yang berkesan.
“Sama ada dalam mengetengahkan bakat, kepimpinan, inovasi dan amalan terbaik warga pendidik Sabah sehingga mendapat pengiktirafan di peringkat tertinggi,” katanya semasa berucap dalam Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (MAPenS) Negeri Sabah Tahun 2026, di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada warga pendidik Sabah yang telah mengharumkan nama negeri di peringkat kebangsaan menerusi pelbagai anugerah yang diterima.
Antara penerima pengiktirafan ialah Dr Velerie Wheelervon Primus dari SK Bingkor, Keningau yang menerima Anugerah Khas Menteri Pendidikan.
Turut menerima pengiktirafan ialah Siti Norfadthia Adila Jumaat dari SK Chinta Mata, Tenom sebagai penerima Anugerah Guru Ikon (Guru DELIMa) dan Sabriah Japrin dari SMK Pekan Telipok yang menerima Anugerah Guru Inovatif Sekolah Menengah.
Roger Samin dari SK Pinggan Pinggan, Pitas pula menerima Anugerah Khas Pendidikan – Kesukarelawanan, manakala Mohd Sharif Taip dari SK Tiong Widu, Tambunan menerima Anugerah Khas Pendidikan – Guru Gigih Pedalaman.
Selain itu, Mohd Al Khalifa Mohd Affnan dari Kolej Vokasional Keningau menerima Anugerah Guru Berwibawa – Pensyarah Berwibawa, manakala Aaron Charles dari SK Palak, Pulau Banggi menerima Anugerah Guru Berwibawa – Guru Orang Asli/Peribumi Berwibawa.
Zaini Jainudin dari SK Pendidikan Khas Tuaran turut mengharumkan nama negeri apabila menerima Anugerah Guru Berwibawa – Guru OKU Berwibawa.
Dalam perkembangan sama, seorang guru yang bertugas di pedalaman Paitan, Beluran turut mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa apabila merangkul dua Anugerah Emas dalam pertandingan inovasi yang berlangsung di Universitas Negeri Jakarta, Indonesia pada 3 hingga 6 Jun lalu.

Guru berkenaan, Lorenica Frenila Masundin dari SK Bawang K9 Beluran, mencipta kejayaan menerusi inovasi pendidikan PAntaS baCA Jawi (PASCA-a).
Menurut Raisin, pengiktirafan dan kejayaan tersebut bukan sahaja menjadi kebanggaan kepada sekolah serta daerah masing-masing, malah merupakan kebanggaan seluruh warga pendidikan Negeri Sabah.
Katanya, pencapaian itu membuktikan guru Sabah mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pendidik terbaik di negara ini.
Tambahnya, anugerah yang diterima bukan sekadar pengiktirafan terhadap individu, tetapi menjadi simbol kepada komitmen seluruh warga pendidik Sabah yang sentiasa berusaha memberikan pendidikan berkualiti, memperkasa potensi murid dan menjayakan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035.
“Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga pendidik untuk terus berinovasi, memperkukuh profesionalisme keguruan dan melahirkan generasi murid yang cemerlang, berakhlak mulia serta mampu menjadi pewaris kepimpinan negara pada masa hadapan,” katanya.







