
SIBU – Isu status tapak Tabika KEMAS Sungai Assan perlu diselesaikan terlebih dahulu bagi membolehkan sebarang perancangan pembangunan dan kerja membaik pulih dilaksanakan pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, perkara itu dibangkitkan semasa lawatan ramah mesra beliau bersama komuniti setempat di Tabika KEMAS Sungai Assan pada Selasa.
Menurut beliau, tapak sedia ada yang menempatkan premis berkenaan merupakan tanah milik gereja, sekali gus menyebabkan beberapa urusan pembangunan dan penyelenggaraan berdepan kekangan.
“Penyelesaian berkaitan status tapak ini amat penting bagi memastikan kemudahan pendidikan awal kanak-kanak dapat terus dipertingkatkan demi manfaat penduduk setempat,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, antara cadangan yang dibincangkan ialah mendapatkan tapak baharu mengikut prosedur Kerajaan Sarawak selain mengekalkan penggunaan tapak sedia ada dengan mendapatkan pengesahan daripada pihak gereja untuk kegunaan sebagai pusat pendidikan.
“Rundingan lanjut bersama pihak gereja perlu diadakan bagi mencari penyelesaian terbaik. Jika memenuhi syarat dan prosedur yang ditetapkan, tapak berkenaan juga berpotensi diurus secara rasmi atau digazetkan untuk kegunaan KEMAS,” katanya lagi.
Turut hadir Guru Besar SK Nanga Assan, Nee Ngie Seng; Tuai Rumah Jemat Ulak; Tuai Rumah Chendang Ambau; Tuai Rumah Augustine Lalong; Tuai Rumah Tony; Tuai Rumah Sutie ak Kapcai; Tuai Rumah Ujang anak Gubal dan Tuai Rumah Andrew Patrick Gundai.





