UMS perluas potensi sagu sebagai makanan masa depan menerusi pendekatan psikologi dan STEM

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperluas usaha memartabatkan makanan tradisional Sabah dengan memperkenalkan pendekatan psikologi dan Science, Technology, Engineering, Mathematics (STEM) bagi meningkatkan kesedaran serta sikap positif golongan belia terhadap sagu sebagai makanan masa depan.

Penyelaras program, Profesor Madya Dr. Getrude Cosmas berkata, sagu mempunyai potensi besar bukan sahaja sebagai warisan makanan tradisional, malah sebagai sumber makanan alternatif yang mampu menyumbang kepada kelestarian makanan pada masa hadapan.

“Usaha ini dilaksanakan menerusi program “Sikap terhadap Makanan Tradisional Sagu sebagai Makanan Masa Depan menerusi Pendekatan Psikologi dan STEM” yang dianjurkan oleh Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial (FPKS), UMS.

“Ada beberapa agensi yan turut bekerjasama menjayakan program ini seperti Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI), U-Science UMS, Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Akademik (PPKA) UMS, Belia KBK St. Peter Bundu Kuala Penyu serta Native Borneo.

“Program ini berlangsung di Pusat Informasi Rumbia itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Service-Learning Malaysia-University for Society (SULAM) di bawah kursus PB30803 (Sikap dan Perubahan Sikap),” katanya baru-baru ini.

Menurutnya, bertemakan “Inovasi Sagu: Bukan Sekadar Makanan Tradisi”, program tersebut melibatkan penyertaan 29 belia daripada Kerasulan Belia Katolik (KBK) St. Peter Bundu Kuala Penyu selain 30 pelajar FPKS UMS yang bertindak sebagai jawatankuasa pelaksana.

“Pendedahan kepada golongan belia mengenai nilai budaya, ekonomi dan inovasi berasaskan sagu amat penting bagi memastikan makanan tradisional itu terus relevan dalam kalangan generasi muda.

“Golongan belia perlu melihat sagu bukan sekadar sebagai makanan tradisi, tetapi sebagai sumber yang mempunyai potensi untuk diinovasikan serta dimanfaatkan dalam pelbagai bentuk produk bernilai tambah,” ujarnya.

Tambahnya, program tersebut mencerminkan komitmen berterusan UMS dalam memperkasakan pemeliharaan warisan budaya tempatan menerusi pendekatan pendidikan, inovasi dan pemindahan ilmu kepada masyarakat selaras dengan agenda pembangunan komuniti dan kelestarian warisan negeri Sabah.

“Antara pengisian utama program ialah tayangan video “Rumbia Tatana” yang memaparkan legenda pokok rumbia, proses penghasilan sagu serta pelbagai produk yang boleh dihasilkan daripada sumber tersebut.

“Kemuncak program menyaksikan enam kumpulan peserta menghasilkan mi dan keropok berasaskan tepung sagu menerusi pertandingan inovasi makanan yang memberi penekanan kepada aspek kreativiti, rasa dan persembahan produk,”jelasnya,

Dalam pada itu, aktiviti sebegini memberi peluang kepada peserta mengaplikasikan elemen STEM secara praktikal dalam pembangunan produk makanan berasaskan sumber tempatan selain menggalakkan pemikiran kreatif dan inovatif dalam kalangan belia.

“Peserta turut diberi ruang berkongsi pengalaman dan refleksi sepanjang program termasuk cadangan supaya program seumpama itu diperluaskan ke sekolah-sekolah bagi meningkatkan kesedaran generasi muda terhadap kepentingan memelihara warisan makanan tradisional.

“Program turut diserikan dengan sesi perkongsian oleh Miss Native Borneo 2025, Christine Joan Charles yang membincangkan peranan belia dalam mempromosikan makanan tradisional Borneo kepada masyarakat yang lebih luas,”katanya.

Penganjuran program tersebut diharap dapat membuka perspektif baharu kepada generasi muda mengenai potensi sagu sebagai sumber makanan masa depan yang bukan sahaja kaya dengan nilai warisan budaya, malah berupaya diketengahkan sebagai produk inovasi berdaya saing.

Related Posts

Kebun sekolah bakal diperluas di Sabah tahun depan

TENOM – Program kebun sekolah yang bertujuan memupuk kesedaran terhadap keterjaminan makanan serta keusahawanan pertanian dalam kalangan pelajar dijangka diperluaskan secara besar-besaran di seluruh Sabah bermula tahun hadapan. Menteri Pertanian,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Hajiji hadir majlis kesyukuran sempena Awal Muharam 1448H

KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama isteri, Datin Seri Juliah Salag menghadiri Majlis Kesyukuran Doa Akhir Tahun 1447 Hijrah dan Doa Awal Tahun Baharu Hijrah…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kebun sekolah bakal diperluas di Sabah tahun depan

Kebun sekolah bakal diperluas di Sabah tahun depan

Hajiji hadir majlis kesyukuran sempena Awal Muharam 1448H

Hajiji hadir majlis kesyukuran sempena Awal Muharam 1448H

Anwar ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia

Anwar ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia

Jangan manipulasi fakta!

Jangan manipulasi fakta!

Malaysia, Timor-Leste tingkatkan kerjasama strategik pelbagai sektor – PM

Malaysia, Timor-Leste tingkatkan kerjasama strategik pelbagai sektor – PM

Kehadiran Parti Wawasan Negara jadi pembakar semangat PH – Fahmi

Kehadiran Parti Wawasan Negara jadi pembakar semangat PH – Fahmi