
LIMBANG – Peningkatan jumlah kemasukan pengunjung dari negara jiran, Brunei ke daerah ini dilihat membuka peluang keemasan kepada perkembangan sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, situasi positif itu wajar dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk setempat bagi menjana sumber pendapatan baharu menerusi pelbagai cabang perniagaan.
Menurutnya, sektor IKS terbukti mampu memberi pulangan ekonomi yang lumayan sekiranya ia diusahakan secara berterusan dan bersungguh-sungguh.
“Kita sebagai penduduk Limbang perlu bersyukur kerana Kerajaan Sarawak sentiasa memberi perhatian khusus kepada kelangsungan pembangunan di daerah ini.
“Ketika ini, terdapat banyak ruang dan peluang dalam bidang IKS yang boleh diterokai seperti perniagaan makanan, sektor perkhidmatan, pembuatan kraf tangan, pengurusan inap desa, restoran dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Geran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Masjid dan Surau bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota di Dewan Kampung Bunga Raya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu menjelaskan, pertambahan peniaga tempatan serta kepelbagaian tawaran produk telah menyumbang secara langsung kepada lonjakan sektor IKS di Limbang.
Tambahnya, perkembangan sihat itu sekali gus merancakkan lagi nama daerah berkenaan sebagai destinasi popular dan pilihan utama pengunjung dari dalam dan luar negara.
Pada masa sama, Abdul Rahman menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak kekal komited untuk memperkasakan sektor IKS menerusi penyediaan pelbagai kemudahan serta prasarana yang kondusif.
Langkah itu katanya, seiring dengan sokongan padu ke arah usaha bersepadu antara masyarakat dan pihak berkepentingan bagi terus memajukan industri berkenaan di Bumi Kenyalang.


