89 65 66 32 80 101 114 100 97 110 97 32 77 101 110 116 101 114 105 44 32 68 97 116 111 39 32 83 101 114 105 32 65 110 119 97 114 32 73 98 114 97 104 105 109 32 109 101 110 117 110 97 105 107 97 110 32 115 111 108 97 116 32 74 117 109 97 97 116 32 100 105 32 73 79 73 32 67 105 116 121 32 77 97 108 108 32 80 117 116 114 97 106 97 121 97 44 32 83 101 112 97 110 103 44 32 83 101 108 97 110 103 111 114 46 32 54 32 77 97 99 32 50 48 50 54 46 32 73 90 90 85 68 68 73 78 32 65 66 68 32 82 65 68 90 65 75 47 80 101 10
PUTRAJAYA – Kerajaan bimbang konflik yang sedang berlaku di negara Teluk ketika ini boleh memberi kesan jangka panjang terhadap ekonomi negara, termasuk keupayaan mengawal harga minyak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, buat masa ini Kerajaan Persekutuan masih berupaya mengawal harga minyak termasuk RON95 pada paras RM1.99 seliter.
Beliau berkata, penutupan Selat Hormuz oleh Iran baru-baru ini menyebabkan lebih 200 kapal minyak dan gas serta peralatan berkaitan terkandas di perairan berkenaan.
Katanya, keadaan itu tentunya akan menjejaskan perniagaan dan perdagangan, selain meningkatkan kos pengangkutan berikutan kapal dagang terpaksa melalui laluan yang lebih jauh.
“Setakat ini seperti mana saya umumkan kita akan cuba kawal termasuk RON95 pada kadar RM1.99. Keadaan ini kita pantau kerana setakat ini kita masih boleh bertahan dalam satu dua bulan tetapi petanda-petanda awal tidak begitu baik dan menyenangkan,” katanya lapor BH.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Musalla Solat Jumaat di pusat beli-belah IOI City Mall, di sini, hari ini.
Anwar berkata, Kerajaan MADANI mengikuti perkembangan di negara Teluk yang disifatkannya sebagai menggusarkan apabila Amerika Syarikat serta Israel masih terus menyerang Iran ketika ini.
Beliau berkata, tumpuan kerajaan ketika ini adalah terhadap kesannya kepada ekonomi dan geopolitik serantau.
“Kerajaan akan ambil langkah-langkah pasti segera kerana kesan ekonomi kalau keadaan ini berlanjutan (dan) tidak dapat dielakkan.
“Kos barangan, kos import bagi syarikat-syarikat kecil sederhana dan juga import umumnya barang makanan akan meningkat,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar mengesyorkan semua anggota masyarakat termasuk penjawat awam, pekerja dan peniaga supaya berwaspada serta tidak memandang ringan kesan konflik berkenaan.
Beliau berkata, jika konflik itu berterusan, ia berpotensi menjadi krisis ekonomi yang lebih besar daripada yang dijangka.
“Saya lihat sekarang ini dalam media nampak tumpuan ini kurang ketimbang apa yang dilaporkan atau diliputi oleh negara-negara jiran dan negara-negara lain.
“Jadi saya tidak mahu pandangan yang selesa, perbelanjaan tidak kawal, tidak terkawal, amalan boros dan membazir minta tolong jaga daripada sekarang.
“Janganlah kita bila dah terhantuk, baru kita cari bantal,” katanya.


