
IPOH – Orang ramai diseru membawa bekas makanan dan beg guna semula sendiri ketika berbelanja, termasuk di bazar Ramadan, sebagai tanda sokongan terhadap pelaksanaan Larangan Beg Plastik Sekali Guna yang akan bermula 1 Mac ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, Sandrea Ng berkata, meskipun larangan tersebut mula berkuat kuasa pada Mac, kerajaan negeri menetapkan tempoh peralihan selama enam bulan sehingga Ogos depan tanpa sebarang tindakan kompaun.
Menurutnya, pendekatan itu bertujuan memberi ruang kepada semua pihak, termasuk peniaga dan pengguna, untuk menyesuaikan diri dengan peraturan baharu sebelum penguatkuasaan penuh dilaksanakan bermula September.
“Sepanjang tempoh peralihan itu, tiada tindakan kompaun akan dikenakan kepada orang awam mahupun peniaga.
“Langkah ini memberi peluang kepada masyarakat untuk membudayakan amalan mesra alam dalam kehidupan seharian, selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri turut memberikan pengecualian sementara kepada penjaja kecil seperti di pasar basah, pasar malam dan premis makanan tertentu berikutan kekangan mendapatkan alternatif bahan pengganti plastik yang benar-benar sesuai ketika ini.
Bagaimanapun, jelasnya, pengecualian itu tidak bermakna usaha mengurangkan penggunaan plastik diketepikan, sebaliknya kerajaan negeri akan terus mempergiatkan kempen hebahan dan program komuniti dengan kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan dasar tersebut dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
“Kita berharap inisiatif ini dapat memperkukuh komitmen menjadikan Perak sebagai negeri yang lebih bersih, hijau dan lestari demi kesejahteraan generasi akan datang,” ujarnya.
Pelaksanaan larangan berkenaan sebelum ini dijadualkan bermula Januari, namun ditangguhkan ke Mac bagi memberi tempoh mencukupi kepada orang ramai dan peniaga membuat persediaan sewajarnya.





