Bayi seminggu antara 21 maut akibat cuaca sejuk melampau di Gaza

SEKURANG-kurangnya 21 penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal, kebanyakannya kanak-kanak, dilaporkan maut akibat kesejukan melampau di kem penempatan sementara di Gaza sejak bermulanya perang Israel ke atas wilayah itu, menurut pihak berkuasa tempatan, Ahad lalu.

Pejabat Media Kerajaan Gaza menegaskan Israel bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kematian itu, dengan mendakwa pihak berkenaan gagal membenarkan kemasukan bahan binaan, peralatan pemanas dan bekalan perlindungan yang mencukupi, walaupun gencatan senjata berkuat kuasa sejak 10 Oktober lalu, lapor Anadolu.

Menurut data rasmi Palestin, pihak berkuasa Israel berulang kali gagal memenuhi komitmen untuk memudahkan kemasukan khemah, unit perumahan bergerak serta bahan binaan bagi membaiki rangkaian air, kumbahan dan elektrik.

Dalam kenyataan, Pejabat Media Kerajaan Gaza memaklumkan, kematian itu membabitkan keluarga yang tinggal di khemah dan struktur sementara yang tidak mampu memberi perlindungan mencukupi daripada cuaca musim sejuk, sekali gus memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sedang melanda wilayah berkenaan.

Menurut kenyataan itu, 18 daripada mangsa adalah kanak-kanak, sekali gus menonjolkan tahap kerentanan tinggi dalam kalangan keluarga yang dipindahkan, khususnya bayi dan kanak-kanak kecil yang terpaksa tinggal di khemah tanpa pemanas, penebat haba serta bekalan musim sejuk asas.

Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas seorang bayi lelaki berusia seminggu, Mahmoud al-Aqraa, meninggal dunia akibat hipotermia selepas tubuhnya menggigil tanpa kawalan akibat kesejukan melampau, menurut bapanya, Adnan al-Aqraa. Bayi itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Al-Aqsa Martyrs di tengah Gaza.

Pejabat Media Kerajaan Gaza menyatakan, kematian akibat kesejukan itu berpunca secara langsung daripada kemusnahan besar-besaran kediaman dan infrastruktur, sekatan berterusan Israel serta pemindahan paksa lebih 1.5 juta penduduk Palestin.

Ia memberi amaran bahawa gelombang sejuk yang berterusan boleh meningkatkan lagi angka korban, terutama dalam kalangan kanak-kanak, warga emas dan pesakit kronik, berikutan cuaca musim sejuk dijangka semakin buruk dalam beberapa hari akan datang.

Menurut kenyataan itu, empat kematian akibat kesejukan direkodkan sejak awal musim sejuk pada Disember lalu, dalam keadaan kekurangan serius peralatan pemanas, pakaian musim sejuk, selimut dan tempat perlindungan yang selamat.

Pegawai meteorologi Palestin memaklumkan satu sistem tekanan rendah baharu mula melanda Gaza sejak Jumaat lalu, membawa hujan lebat, angin kencang serta penurunan suhu mendadak, dengan kelajuan angin mencecah sehingga 60 kilometer sejam di beberapa kawasan.

Pertahanan Awam Gaza pula melaporkan ribuan khemah penempatan rosak atau diterbangkan angin ribut, manakala puluhan bangunan yang sudah lemah akibat serangan terdahulu runtuh akibat cuaca buruk, sekali gus menyebabkan korban tambahan.

Sehubungan itu, pihak berkuasa Gaza menggesa masyarakat antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan organisasi kemanusiaan supaya segera mengambil tindakan menyediakan tempat perlindungan selamat, bekalan pemanas serta bantuan kemanusiaan tanpa sekatan bagi mengelakkan lebih banyak kematian.

Related Posts

MBSJ kutip 426 bangkai tikus selepas operasi racun

SUBANG JAYA – Sebanyak 426 bangkai tikus berjaya dikutip dalam operasi pembersihan yang dilaksanakan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di sekitar kawasan SS15, semalam. MBSJ berkata, operasi berkenaan susulan tindakan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PH terbuka penjajaran politik baharu, setiap negeri ada dinamik tersendiri – Fahmi

PAKATAN Harapan (PH) tidak menolak kemungkinan berlaku penjajaran politik baharu susulan dinamika politik semasa yang berbeza mengikut keadaan dan keunikan setiap negeri. Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

MBSJ kutip 426 bangkai tikus selepas operasi racun

MBSJ kutip 426 bangkai tikus selepas operasi racun

PH terbuka penjajaran politik baharu, setiap negeri ada dinamik tersendiri – Fahmi

PH terbuka penjajaran politik baharu, setiap negeri ada dinamik tersendiri – Fahmi

Pesta Kanowit 2026 jadi pemangkin ekonomi, perpaduan komuniti

Pesta Kanowit 2026 jadi pemangkin ekonomi, perpaduan komuniti

Pelaksanaan MA63 bawa perubahan ketara kepada Sabah, Sarawak

  • By Fatin
  • September 20, 2026
Pelaksanaan MA63 bawa perubahan ketara kepada Sabah, Sarawak

Naikkan cukai rokok mampu bendung perokok muda – CAP

Naikkan cukai rokok mampu bendung perokok muda – CAP

Tahanan rumah belum bermula, Najib kekal di Penjara Kajang

Tahanan rumah belum bermula, Najib kekal di Penjara Kajang