MALAYSIA menegaskan perjanjian tarif baharu dengan Amerika Syarikat (AS) yang ditandatangani semalam tidak menjejaskan kedaulatan negara, sebaliknya memperkukuh hubungan dagangan dua hala dalam kerangka yang menghormati kepentingan nasional.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, semua dokumen dimeterai telah disemak dengan teliti dan diluluskan oleh Kabinet sebelum ditandatangani.
“Kita tidak akan menandatangani sebarang perjanjian yang menjejaskan kedaulatan negara.
“Semua kandungan perjanjian ini menghormati prinsip kedaulatan nasional,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.
Beliau menegaskan komitmen Malaysia untuk mengurangkan halangan perdagangan digital dan perkhidmatan, tidak menjejaskan dasar komunikasi negara termasuk cadangan pelesenan media sosial yang sedang diteliti kerajaan.
“Tiada keperluan dalam perjanjian ini yang memaksa Malaysia menarik balik dasar komunikasi atau pelesenan media sosial. Itu tidak menjadi isu,” katanya lagi..
Mengenai memorandum persefahaman (MoU) berkaitan mineral nadir bumi, Tengku Zafrul menjelaskan Malaysia kekal terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana negara termasuk AS, Jepun, Korea Selatan, China dan Australia.
“MoU ini tidak eksklusif. Kita mengalu-alukan pelaburan dan pemprosesan nadir bumi oleh mana-mana pihak yang menepati piawaian alam sekitar dan peraturan tempatan,” katanya.
Beliau berkata, perjanjian tarif baharu Malaysia–AS akan menjadi asas penting bagi meningkatkan kerjasama ekonomi dua hala serta boleh dijadikan acuan bagi rundingan masa depan ASEAN dengan rakan dagang utama lain.
“Ini satu bentuk perjanjian yang boleh memperkukuh integrasi ekonomi serantau.
“Malah, esok (hari ini) ASEAN akan menandatangani peningkatan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN–China 3.0, yang memberi tumpuan kepada aspek digital, kemampanan dan perusahaan kecil sederhana,” katanya.






