Pesta Badudun dan Lumba Kerbau 2025 semarakkan warisan budaya Limbang

LIMBANG — Pesta Badudun dan Lumba Kerbau Edisi ke-11 yang berlangsung meriah di Kampung Lubok Piasau pada Ahad bukan sekadar acara hiburan rakyat, sebaliknya menjadi lambang perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Limbang serta wadah memartabatkan warisan budaya tempatan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penganjuran pesta oleh Persatuan Melayu Limbang (PML) ini mencerminkan komitmen tinggi dalam mengekalkan khazanah budaya negeri dan menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat.

“Tahniah kepada PML dan jawatankuasa penganjur yang terus komited mengangkat warisan budaya melalui penganjuran pesta seperti ini. Tema tahun ini, ‘Melalui Budaya Kita Bersatu, Melalui Budaya Pelancongan Bertambah Maju’, amat bertepatan dengan semangat perpaduan masyarakat kita,” katanya ketika merasmikan dan menangguhkan pesta berkenaan, di sini, hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, serta Penaung PML, berkata kepelbagaian adat resam dan warisan budaya di Limbang bukan sahaja menjadi identiti masyarakat setempat, malah berpotensi besar sebagai tarikan pelancongan berasaskan komuniti yang mampu menjana ekonomi tempatan.

“Tiga intipati utama tema pesta ini ialah mempamerkan warisan budaya pelbagai kaum, memperkukuh nilai perpaduan, dan memberi nilai tambah kepada industri pelancongan khususnya di Limbang,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan pendidikan dan peranan PML dalam melahirkan generasi muda yang berilmu serta berdaya saing.

“Setiap tahun, PML menganjurkan Anugerah Pelajar Cemerlang dan Program Dermasiswa bagi anak-anak ahli yang berjaya dalam peperiksaan SPM, STPM serta mereka yang melanjutkan pengajian ke universiti awam.

“Ibu bapa perlu bersikap proaktif memastikan anak-anak dilengkapi pelbagai ilmu dan kemahiran supaya mampu bersaing bukan sahaja di peringkat tempatan, tetapi juga di arena global,” katanya.

Awang Tengah turut menzahirkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, atas keprihatinan kerajaan negeri dalam memperkasa pendidikan rakyat.

“Mulai tahun hadapan, kerajaan Sarawak bukan sahaja memberikan pendidikan percuma di institusi pengajian tinggi awam tempatan, malah turut menyediakan sumbangan duit poket sebanyak RM1,500 setahun kepada pelajar.

“Langkah ini mencerminkan keprihatinan dan kemurahan hati kerajaan negeri dalam memastikan tiada anak Sarawak tercicir daripada mendapat pendidikan berkualiti,” katanya.

Sempena ulang tahun ke-78 PML, beliau menyeru agar lebih banyak aktiviti dijalankan merangkumi bidang sosioekonomi, pendidikan, keagamaan, wanita, kebajikan dan belia bagi memperkukuh semangat komuniti.

“Saya menyeru seluruh masyarakat, khususnya komuniti Melayu di Limbang, agar terus bersatu padu dan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan. Perjuangan kita membangunkan Limbang masih jauh dan belum selesai,” tegasnya.

Beliau turut menekankan bahawa perpaduan dan kerjasama semua pihak amat penting bagi merealisasikan hasrat menjadikan Bandar Limbang sebuah bandar bestari, maju, sejahtera dan bahagia, demi masa depan yang cemerlang dan gemilang.

Sepanjang pesta berlangsung, pelbagai aktiviti kebudayaan dan tradisi Melayu diadakan termasuk pertandingan lumba kerbau, persembahan seni tari tradisional, jualan makanan tempatan serta pameran hasil kraftangan komuniti.

Acara tahunan ini bukan sahaja menarik penyertaan penduduk tempatan, malah menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar daerah yang datang menyaksikan keunikan budaya Limbang yang penuh warna-warni.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Datuk Paulus Palu Gumbang; Residen Bahagian Limbang, Unos Tambi; pegawai kerajaan, ketua masyarakat serta penduduk dari seluruh kampung di daerah ini.

Related Posts

Penggantungan SUK, Penasihat Undang-Undang: AMK Negeri Sembilan mahu penjelasan segera

ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan menggesa semua pihak menghormati Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 serta proses perundangan berhubung keputusan penggantungan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohd Zafir…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kontinjen Orang Asli tampil memeriahkan sambutan Maulidur Rasul Jengka

MARAN – Penampilan istimewa kontinjen Orang Asli mencuri tumpuan pada sambutan Maulidur Rasul Peringkat Jengka, yang berlangsung hari ini. Kontinjen seramai 20 orang berusia antara 14 hingga 43 itu adalah…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

MMKN tiada kuasa gantung tugas SUK, Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan – AGC

MMKN tiada kuasa gantung tugas SUK, Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan – AGC

Penggantungan SUK, Penasihat Undang-Undang: AMK Negeri Sembilan mahu penjelasan segera

Penggantungan SUK, Penasihat Undang-Undang: AMK Negeri Sembilan mahu penjelasan segera

MPNPHNS saran siasatan menyeluruh dakwaan usaha singkir Tuanku Muhriz

MPNPHNS saran siasatan menyeluruh dakwaan usaha singkir Tuanku Muhriz

Kecewa cara UMNO urus kemelut Tuanku Muhriz, ketua cawangan letak jawatan

Kecewa cara UMNO urus kemelut Tuanku Muhriz, ketua cawangan letak jawatan

Kontinjen Orang Asli tampil memeriahkan sambutan Maulidur Rasul Jengka

Kontinjen Orang Asli tampil memeriahkan sambutan Maulidur Rasul Jengka

China Eastern rancang tambah penerbangan Shanghai–Kota Kinabalu hingga tiga kali sehari

  • By Ezmie
  • September 22, 2026
China Eastern rancang tambah penerbangan Shanghai–Kota Kinabalu hingga tiga kali sehari