PASIR SALAK – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyokong tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menyalahgunakan kuasa dengan bersekongkol dalam perbuatan tidak berintegriti.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, beliau sependapat dengan ketegasan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar yang tidak akan berlembut dalam isu penyelewengan kuasa melibatkan warga ATM.
“Saya bersetuju sepenuhnya dengan kenyataan beliau bahawa tindakan tegas mesti diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pegawai ATM yang terbabit, bukan sahaja mereka yang menjadi pemberi maklumat, tetapi juga yang terlibat secara langsung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Santunan Desa Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Perak Bersama JPKK dan Komuniti KEMAS di Dewan Besar Bandar Baru Felcra Seberang Perak, di sini pada Ahad.
Hadir sama, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang; Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man dan Pegawai Khas Menteri Besar Perak bagi Dewan Undangan Negeri Kampung Gajah yang juga Pengerusi Komuniti KEMAS Parlimen Pasir Salak, Khairul Azwan Harun.
Ahmad Zahid menegaskan, penyalahgunaan kuasa dalam pasukan keselamatan bukan sahaja mencemar imej institusi pertahanan negara, tetapi juga menghakis keyakinan rakyat terhadap integriti penjawat awam berseragam.
“Saya harap kes ini menjadi pengajaran mahal kepada semua pihak. Tidak kira pasukan keselamatan atau penguat kuasa, jangan sesekali terjebak dengan kerja-kerja yang menyalahi undang-undang,” tegasnya.
Rabu lalu, 10 individu termasuk pegawai kanan tentera berusia antara 30 hingga 55 tahun dan seorang warga Indonesia ditahan di sekitar Lembah Klang melalui Op Sohor yang dijalankan Bahagian Perisikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS).
Siasatan awal mendapati pegawai terbabit bersama dua bekas anggota ATM disyaki membocorkan maklumat operasi kepada penyeludup yang dipercayai membawa masuk dadah, rokok dan barangan lain dari negara jiran dengan nilai kira-kira RM5 juta sebulan.




