
KUCHING – Sarawak bakal menyaksikan pertambahan 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN), menjadikan jumlah keseluruhan keanggotaan meningkat kepada 99 kerusi.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 pada satu sidang khas di Kuching pada Isnin.
Menurut beliau, penambahan itu selaras dengan Perkara 113(2)(ii) Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyemak semula persempadanan kawasan pilihan raya termasuk bilangan kerusi DUN.
“Langkah ini mencerminkan pertumbuhan pesat penduduk serta pembangunan di Sarawak. Ia juga memastikan representasi politik yang lebih adil dan saksama untuk rakyat,” katanya.
Jelas beliau, komposisi baharu itu akan mula berkuat kuasa sebaik RUU berkenaan diluluskan dan digunapakai pada pilihan raya negeri akan datang.
Tambahnya, penambahan kerusi itu penting bagi memberi tumpuan kepada kawasan yang pesat membangun, terutamanya di luar bandar yang menunjukkan peningkatan populasi sejak pilihan raya negeri lalu.
Untuk rekod, kali terakhir Sarawak menambah kerusi DUN ialah pada 2015 apabila jumlahnya meningkat daripada 71 kepada 82 kerusi.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)





