Isu kesihatan mental perlu ada kesedaran segera

KOTA KINABALU – Insiden tragik yang meragut nyawa seorang guru wanita di Tenghilan baru-baru ini membuka mata semua pihak dan meningkatkan kesedaran kesihatan mental.

Kejadian tersebut dipercayai akibat serangan oleh abang kandungnya sendiri yang difahamkan mempunyai sejarah masalah kesihatan mental.

Mantan Senator Ahli Dewan Negara, Datuk Noraini Idris turut menyuarakan rasa sedih dan dukacita terhadap kejadian ini.

“Kejadian ini begitu meruntun hati kita semua, apatah lagi mangsa merupakan seorang pendidik yang berbakti kepada masyarakat.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa dan mendoakan mereka diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi dugaan yang sungguh berat ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau berharap agar semua pihak wajar membuka mata dan dapat meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental yang tidak boleh lagi dianggap remeh atau dipandang sepi.

Jelasnya, insiden seperti itu juga menyentuh keselamatan dan kesejahteraan awam serta menunjukkan petanda yang jelas bahawa literasi mental dalam kalangan masyarakat harus segera dipertingkatkan.

“Ia penting supaya masalah psikologi tidak berlarutan tanpa rawatan sewajarnya dan tidak pula berakhir dalam tragedi yang meragut nyawa insan tidak berdosa,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Sabah, khususnya Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) perlu memberikan perhatian lebih serius terhadap penyediaan rawatan mental yang lebih menyeluruh, mudah diakses dan bersifat inklusif.

“Kita tidak boleh lagi bergantung kepada fasiliti sedia ada tanpa penambahbaikan yang mampan.

“Antara langkah wajar dipertimbangkan termasuk menaik taraf Hospital Mesra Bukit Padang dari segi kemudahan rawatan, bilangan tenaga pakar psikiatri, serta kapasiti penempatan pesakit agar lebih bersedia memenuhi keperluan rakyat yang semakin meningkat.

“Selain itu, pembinaan pusat komuniti sokongan mental di setiap daerah perlu disegerakan sebagai pusat saringan awal, tempat kaunseling keluarga dan rujukan kes-kes kronik ke hospital pakar,” katanya.

Tambah Noraini, program pendidikan kesihatan mental di sekolah, tempat kerja dan komuniti juga sewajarnya diperluaskan secara terancang agar rakyat didedahkan kepada tanda-tanda awal penyakit mental, serta kepentingan mendapatkan rawatan profesional tanpa rasa malu atau stigma.

“Pada masa sama, prosedur susulan terhadap pesakit mental yang pulang ke rumah selepas menjalani rawatan hendaklah diperkuatkan dengan pemantauan lebih sistematik, supaya kerjasama antara hospital, keluarga, dan pihak berkuasa tempatan dapat memastikan sebarang risiko ditangani dengan lebih cekap dan berhemah,” jelasnya.

Katanya, tragedi ini mengingatkan bahawa kesihatan mental adalah isu bersama, merentasi kaum, agama mahupun kedudukan sosial.

“Ia bukan hanya tanggungjawab hospital, malah seluruh masyarakat harus memikul peranan untuk menyokong dan memahami bahawa pesakit mental memerlukan rawatan, bukan sekadar simpati tanpa tindakan.

“Saya akan terus menyokong sebarang usaha yang memperkukuh mutu perkhidmatan kesihatan mental di Sabah kerana kesejahteraan rakyat, baik jasmani mahupun rohani, adalah keutamaan yang tidak wajar dikompromi oleh mana-mana pihak,” ujarnya.

Related Posts

Ketelusan tawaran gaji sedang dikaji Kementerian Ekonomi

KUALA LUMPUR – Kementerian Ekonomi sedia meneliti mekanisme baharu bagi meningkatkan ketelusan tawaran gaji bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara diterjemahkan kepada pulangan yang lebih adil kepada pekerja. Menteri Ekonomi, Akmal…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Enam pendaki hilang di Gunung Gerah disahkan selamat

GERIK – Enam peserta Ekspedisi Trans Gerah yang dilaporkan hilang ketika merentasi tiga puncak gunung di Banjaran Titiwangsa, disahkan selamat pada petang Isnin. Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Ketelusan tawaran gaji sedang dikaji Kementerian Ekonomi

Ketelusan tawaran gaji sedang dikaji Kementerian Ekonomi

Enam pendaki hilang di Gunung Gerah disahkan selamat

Enam pendaki hilang di Gunung Gerah disahkan selamat

Penyelesaian yang gagal bila retorik politik bertembung dengan data

Penyelesaian yang gagal bila retorik politik bertembung dengan data

Siap siaga, turun padang dekati masyarakat – Rajesh

  • By Ezmie
  • September 7, 2026
Siap siaga, turun padang dekati masyarakat – Rajesh

Pelajar mangsa kebakaran mungkin ditempatkan di asrama

  • By Ithma
  • September 7, 2026
Pelajar mangsa kebakaran mungkin ditempatkan di asrama

Dua beradik antara dituduh bunuh lelaki di ladang kelapa sawit

Dua beradik antara dituduh bunuh lelaki di ladang kelapa sawit