ALOR SETAR – Rayuan dan cubaan Pas untuk memujuk UMNO kembali
bekerjasama semula tidak kesampaian apabila ditolak sendiri oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.
Ini adalah kerana Pas adalah parti pengkianat dan tidak boleh dipercayai sejak dahulu lagi walaupun mereka ditubuhkan kononnya sebagai parti Islam, kata Ketua Penerangan UMNO Kedah.
Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, sesiapa yang akan bekerjasama dengan parti itu sudah pasti akan ‘bercerai’ kerana tindakan mereka menikam dari belakang untuk menjatuhkan rakan seperjuangan mereka itu.
“Sesebuah parti yang mahu bekerjasama dengan Pas perlu berhati-hati kerana mereka bercakap tidak serupa bikin dan boleh khianat pada bila-bila masa.
“Ini sudah terjadi kepada PKR dan DAP. Kemudiannya UMNO sendiri hingga tertubuhnya Muafakat Nasional dan akhirnya terkubur. Kini mereka ‘berkahwin’ pula dengan parti Bersatu dan difahamkan rumah tangga mereka sudah mula bergolak.
“Bagi mencari pasangan baharu kini mereka cuba memujuk Zahid supaya menarik diri dari Kerajaan Perpaduan dan bergabung semula dengan Pas. Bagi memujuk kembali UMNO sebagai rakan mereka, Zahid telah ditawarkan jawatan sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Menurut Shaiful Hazizy, Pas adalah parti yang tidak ada maruah dan hanya menunggang agama untuk mencapai hasrat mereka memerintah negara.
“Sebelum ini apa yang tidak dikatakan Pas kepada Zahid dan UMNO hingga menyebabkan masyarakat terkejut dengan pelbagai dalil dikeluarkan. Semasa mereka ‘berumahtangga’ bersama dengan UMNO dahulu, Zahid dihina dengan tidak diberikan sebarang jawatan malah dilabelkan sebagai kluster mahkamah.
“Sebaliknya pula Naib Presiden UMNO pada masa itu, Datuk Seri Ismail Sabri diberi jawatan sebagai Perdana Menteri. Di manakah maruah seorang Presiden apabila anak buahnya dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Apa yang tidak dikatakan Pas kepada UMNO sebelum ini dengan maki hamun malah mengibaratkan UMNO seperti binatang. Malah lebih mengecewakan lagi apabila UMNO ini dikata dajal yang merupakan makhluk tidak boleh berbaik sama sekali,” katanya.
Bagaimanapun tiba-tiba datang rombongan dari Pas untuk bertemu dengan Zahid dan memujuk beliau menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan, kata Shaiful Hazizy.
“Inilah yang dikatakan Pas adalah parti tidak bermaruah juara dengan maki hamun dan menggelar kepada mereka yang tidak suka kemudiannya berpeluk semula demi mendapat kuasa.
“Inilah acuan yang dibentuk oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang kemudiannya diikuti oleh pemimpin bawahannya yang suka maki hamun dan cerca kemudiannya sanggup pula mencium tangan PMX,” katanya.
Beliau berkata, Pas sangat memerlukan UMNO kerana mereka kian terasa hubungan dengan Bersatu ibaratkan retak menjadi belah sahaja. Pas yang mempunyai kelebihan undi daripada Bersatu tetapi Perikatan Nasional itu dikatakan dikuasai oleh Bersatu.
Katanya lagi, Pas sangat memerlukan UMNO kerana modul yang ada pada BN dengan dianggotai pelbagai bangsa menyebabkan mereka yakin suatu hari nanti mampu menawan Putrajaya.
“Pas sedar mereka tidak boleh sendirian bagi menakluk Putrajaya dan memerlukan parti komponen dari BN. Pas hari ini boleh dikatakan lebih rasis berbanding semasa kepimpinan arwah Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat yang terkenal dengan slogan ‘Pas For All’.
“Hanya modul itu sahaja diharapkan BN dapat bekerjasama dengan mereka bagi mencapai matlamat mereka menawan Putrajaya pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata, sebagai pemimpin yang bijak dan matang, Zahid menghadapinya dengan tenang serta menolaknya dengan bijak.

