
SEKTOR e-dagang kini antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi digital Malaysia dan terus berkembang pesat sebagai sektor strategik negara, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh.
Beliau berkata, seiring dengan unjuran semasa, sektor berkenaan disasarkan mencapai jumlah hasil pendapatan sebanyak RM1.65 trilion menjelang penghujung tahun ini.
“Pada 2021, sektor e-dagang negara melepasi angka RM1 trilion. Jumlah ini meningkat lagi dengan 8.7 peratus kepada RM1.127 trilion pada tahun 2022 dan seterusnya naik lagi 5.1 peratus kepada RM1.184 trilion pada tahun 2023.
“Seiring dengan unjuran semasa, sektor ini disasarkan mencapai jumlah hasil pendapatan sebanyak RM1.65 trilion menjelang tahun 2025.
“Ini juga mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan memperluas pasaran kepada perusahaan mikro kecil dan sederhana,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) mengenai garis panduan semasa yang diguna pakai dalam menentukan syarat kemasukan platform e-dagang asing ke pasaran Malaysia dan usaha KPDN untuk memperkenalkan dasar kawalan baharu yang lebih ketat supaya kuasa pasaran lebih seimbang.
Fuziah berkata, disebabkan sektor e-dagang yang berkembang pesat itu juga, undang-undang sedia ada tidak mencukupi dan satu punca kuasa diperlukan dengan penggubalan rang undang-undang e-dagang baharu.
“KPDN berpandangan bahawa perlu diadakan satu punca kuasa di mana punca kuasa itu boleh memberikan kuasa kepada kementerian kuasa untuk intervensi.
“Pada ketika ini, kita tidak ada punca kuasa untuk memaksa mereka pengendali platform menetapkan kadar (yuran di platform e-dagang).
“Namun, pada ketika ini kita hanya menggunakan ‘best practise’ (amalan terbaik seperti) kita ajak runding dan memanggil mereka.
“Sekiranya undang-undang ini dapat diluluskan di Parlimen, Insya-Allah boleh dibawa satu peraturan dalam undang-undang,” katanya.







