
KOTA KINABALU – Kebergantungan terhadap makanan haiwan import dikenal pasti sebagai punca utama isu harga ayam dan telur lebih tinggi di Sabah berbanding di Semenanjung.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, Sabah ketika ini masih bergantung 98 peratus kepada import makanan ternakan, khususnya jagung yang menjadi komponen utama dalam industri ayam dan telur.
“Apabila kos pengangkutan kapal naik, maka harga import kita pun meningkat, jadi harga ayam dan telur turut naik.
“Maka, kita tidak boleh cakap tidak turunkan harga ayam tapi harga makanannya tidak turun, jadi kita kena mengenal pasti apa puncanya dan juga membuat langkah-langkah penyelesaian,” katanya semasa sidang media selepas Majlis Santai bersama media di Waterfront Todak, di sini pada Jumaat.
Menurut Jamawi, pihaknya akan membuka sekurang-kurangnya 1,000 ekar ladang jagung untuk ternakan ayam bagi mengurangkan pergantungan import makanan haiwan berkenaan dan seterusnya mengurangkan harga ayam di pasaran.
“Saya telah pun dapat peruntukan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sebanyak RM25 juta untuk tahun ini, kita akan membuka 1,000 ekar tanaman jagung secara komersial,” kongsinya.
Mengulas lanjut mengenai harga telur, Jamawi berkata, ianya tetap sama, kerana ayam penelur di negeri ini menggunakan jagung yang diimport sebagai makanan.
“Kita tidak ada sumber (makanan ayam) yang lain, namun begitu, saya telah menggerakkan Kebun Dapur ini melalui program Mentor Mentee.
“Latihan telah dilaksanakan minggu lepas untuk kita kembangkan di seluruh pelosok Negeri Sabah supaya masyarakat dapat menggunakan tanaman dan lebihan buangan dapur untuk dijadikan sebagai makanan ayam di mana ia memerlukan kandungan protein yang mencukupi supaya boleh mengeluarkan telur,” katanya.
Dalam masa sama, Jamawi turut menggalakkan masyarakat khususnya di luar bandar untuk menternak ayam sendiri melalui program Kebun Dapur sebagai langkah jangka pendek menangani kos sara hidup.
Beliau turut menegaskan, penyelesaian isu harga tidak boleh dilakukan secara langsung tanpa menangani punca utama iaitu kos makanan ternakan dan rantaian bekalan.




