
KUCHING – Setiap kali harga barang keperluan asas naik, keluhan pasti kedengaran di pelbagai platform.
Namun, sedarkah kita bahawa isu keterjaminan makanan sebenarnya adalah bom jangka ‘senyap’ yang menuntut persiapan rapi, bukan sekadar keluhan kosong?
Bagi Pengarah Borneo Institute of Sustainable Food & Agroindustry (BISFA) i-CATS University College, TS Dr. Muhammad Norhelmi Ahmad, sudah tiba masanya masyarakat awam dididik untuk memahami realiti sebenar rantaian bekalan makanan agar negara tidak lagi selesa bergantung sepenuhnya kepada produk import.
Ramai yang mungkin tidak nampak kaitan antara ketegangan geopolitik di luar negara dengan harga sebungkus makanan di dapur rumah.
Pemerkasaan sumber lokal dan realiti global
Mengambil contoh krisis Rusia-Ukraine, Dr. Norhelmi menjelaskan bagaimana konflik tersebut memberi tamparan hebat kepada industri makanan global.
“Apabila Ukraine yang merupakan pengeluar gandum dunia berdepan peperangan dan penutupan pelabuhan, rantaian gandum global terjejas teruk sehingga kesannya merentas benua sampai ke Malaysia, khususnya melibatkan industri mi segera,” katanya
Selain gandum, jelas beliau, kos logistik dan insurans perkapalan untuk membawa masuk bekalan baja import ke negara kita turut mencanak naik.
Menyedari hakikat betapa rapuhnya kita jika terus bergantung kepada sumber luar, beliau memuji langkah negara jiran, Indonesia yang mula meminimumkan penggunaan gandum dengan beralih kepada kelebihan tepung sagu tempatan, sekali gus menyelamatkan ekonomi komuniti mereka.
“Satu lagi pendedahan menarik daripada pakar ini adalah kesilapan ekosistem tempatan yang sering memfokuskan kepada kapasiti pengeluaran semata-mata, tetapi lemah dalam aspek penyimpanan atau teknologi pascatuai,” jelas Dr Norhelmi.

Sektor agromakanan tempatan asyik menghasilkan produk, kata beliau lagi, tempoh hayat makanan tersebut sangat singkat sehingga mengakibatkan kita sering terkejut dan tidak bersedia apabila krisis melanda.
Dalam hal ini, beliau menegaskan bahawa kita wajar belajar daripada Singapura yang mempunyai indeks keselamatan makanan kedua tertinggi di dunia.
“Walaupun bersaiz kecil dan tidak menghasilkan banyak produk pertanian, negara jiran itu memiliki kapasiti pemprosesan dan penyimpanan yang luar biasa hebat untuk menampung keperluan rakyatnya ketika waktu darurat.
Menyentuh peranan di peringkat akar umbi, pesanan paling bernilai daripada Dr. Norhelmi kepada masyarakat awam adalah falsafah keterjaminan makanan yang wajib bermula dari rumah.
“Rakyat tidak seharusnya melepaskan 100 peratus tanggungjawab ini ke bahu kerajaan, sebaliknya perlu menghidupkan empat rukun utama keterjaminan dalam kehidupan harian.
Empat rukun keterjaminan makanan tanggungjawab bermula di rumah
“Rukun pertama adalah memastikan keberadaan atau ketersediaan bekalan dengan cara mempraktikkan pertanian bandar seperti menanam sayur-sayuran di pasu sekitar rumah agar sumber asas sentiasa ada di depan mata.
“Langkah ini secara langsung menyokong rukun kedua iaitu kemampuan, di mana rakyat tidak lagi perlu terbeban dengan harga pasaran kerana inovasi sistem hidroponik atau ternakan ikan akuakultur di halaman rumah mampu menyelamatkan dompet perbelanjaan dapur dengan ketara.
Seterusnya, rukun ketiga pula menuntut jaminan keselamatan dan kualiti kesihatan makanan tersebut.
“Sayur dan ikan yang diternak sendiri sudah pasti terjamin kebersihannya kerana diuruskan tanpa racun makhluk perosak yang berbahaya, lantas menjadikannya selamat untuk dijamah oleh ahli keluarga,” ujarnya.
Apabila ketiga-tiga elemen ini dipenuhi, rukun keempat iaitu kestabilan bekalan dan harga secara automatik akan tercapai.
“Dengan adanya ‘stok hidup’ di halaman rumah, keluk perbelanjaan keluarga menjadi konsisten dan kehidupan tidak akan terjejas teruk biarpun harga sayur di pasar naik mendadak secara tiba-tiba.
Kesimpulannya, persediaan mendepani krisis bekalan makanan bukanlah satu teori akademik yang hanya sedap dibincangkan di dewan kuliah, tetapi ia merupakan kemahiran kelangsungan hidup yang wajib dikuasai oleh setiap isi rumah.
Sudah tiba masanya kita berhenti menjadi sekadar pengguna yang menanti disuap, dan mula berdikari menjadi pengeluar di pekarangan kediaman sendiri.





