PUTRAJAYA – Pemuktamadan jajaran sempadan darat antara Malaysia dan Indonesia menyaksikan negara ini memperoleh tambahan wilayah kira-kira 785 hektar menerusi penyelesaian teknikal yang dimeterai kedua-dua pihak.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, pertambahan itu melibatkan kira-kira 780 hektar di Sungai Sinapad dan Sungai Sesai serta lima hektar di Pulau Sebatik hasil penjajaran semula persempadanan.
Beliau berkata, dalam masa sama, Malaysia menyerahkan kawasan seluas 123 hektar di Pulau Sebatik yang sebelum ini berada dalam wilayah negara kepada Indonesia.
“Pemuktamadan jajaran sempadan ini dimeterai melalui MoU antara Malaysia dengan Indonesia pada 18 Februari 2025, sekali gus menandakan satu pencapaian signifikan kepada rundingan dan kerjasama teknikal yang sudah berlangsung selama lebih 45 tahun.
“Penyelesaian penjajaran semula persempadanan di Pulau Sebatik ini dibuat secara berpakej dengan penyelesaian penjajaran semula persempadanan di Sungai Sinapad dan Sungai Sesai, di mana Malaysia memperoleh pertambahan wilayah seluas 780 hektar yang sebelum ini berada dalam Indonesia, kini berada dalam Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas laporan media Indonesia yang memetik Ketua Staf Presiden, M Qodari, Arthur berkata, dakwaan bahawa kawasan seluas 127.3 hektar di Pulau Sebatik kini milik Indonesia adalah tidak tepat dan tidak selaras dengan rekod rasmi yang dipersetujui kedua-dua negara.
Beliau menegaskan keseluruhan proses pemuktamadan sempadan itu dilaksanakan berasaskan persetujuan bersama serta mematuhi undang-undang antarabangsa tanpa melibatkan sebarang unsur pampasan atau pertimbangan untung rugi.
“Bagi memastikan kepentingan negeri sentiasa terpelihara dan diutamakan, kerajaan negeri sentiasa dilibatkan secara konsisten dalam setiap peringkat rundingan teknikal dan diplomatik melalui penyertaan wakil daripada Jabatan Ketua Menteri Sabah, Pejabat Peguam Besar Negeri Sabah dan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTUS).
“Pemuktamadan jajaran sempadan darat di Pulau Sebatik ini memberikan kepastian dari segi perundangan dan pentadbiran, sekali gus membolehkan penyampaian perkhidmatan kerajaan, pengurusan keselamatan, perancangan pembangunan serta pengurusan tanah dan sumber dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan,” katanya.
Arthur berkata, pendekatan diplomasi berterusan antara Malaysia dan Indonesia akan terus diperkukuh bagi memastikan isu persempadanan ditangani secara berhemah berlandaskan semangat muhibah dan setiakawan.
Sehubungan itu, beliau menyarankan pihak media mendapatkan pengesahan daripada sumber berautoriti sebelum menyiarkan laporan berkaitan isu sempadan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Menurut rekod, penentuan sempadan darat di Pulau Sebatik adalah berdasarkan Boundary Convention 1891 yang ditandatangani antara kerajaan British dan Belanda pada 20 Jun 1891, dengan jajaran sempadan ditetapkan di sepanjang latitud 4 darjah 10 minit Utara.
Pada 1983, semakan teknikal bersama mendapati terdapat perbezaan antara jajaran sempadan di lapangan dengan rekod perjanjian asal.
Selepas rundingan selama 35 tahun, kedua-dua negara mencapai persetujuan pada Oktober 2018 bagi menyelesaikan isu persempadanan di kawasan berkenaan selaras dengan prinsip konvensyen tersebut.
Kerja siasatan, penandaan dan pengukuran semula kemudiannya dilaksanakan secara bersama dari Februari hingga November 2019 menggunakan teknologi moden bagi memastikan ketepatan jajaran sempadan.





