
KUCHING – Pengumuman Kerajaan MADANI berhubung penyaluran bantuan tambahan yang dijadualkan bermula 21 April 2026 nyata memberi nafas baharu kepada ratusan ribu penggiat sektor pertanian negara.
Lebih daripada sekadar angka, kombinasi tiga inisiatif utama ini dilihat pakar sebagai satu penampan komprehensif yang dijangka merungkai masalah kos operasi dari peringkat hulu sehinggalah ke hilir, di samping mendidik komuniti petani agar lebih berwawasan.
Penampan komprehensif hulu ke hilir
Pendekatan serampang tiga mata kerajaan ini merangkumi kenaikan Insentif Pesawah daripada RM160 kepada RM300 sehektar, BUDI Agri-Komoditi yang dinaikkan kepada RM400 sebulan, dan BUDI Diesel Individu (Semenanjung) kepada RM400 sebulan.

Pengarah Borneo Institute of Sustainable Food & Agroindustry (BISFA) i-CATS University College, TS Dr. Muhammad Norhelmi Ahmad menyifatkan campur tangan kerajaan ini bukan sekadar keistimewaan, sebaliknya ia adalah talian hayat atau ‘survival’ mutlak buat para petani dalam mendepani cabaran ekonomi semasa.
“Ekosistem pertanian negara masa kini masih terdedah kepada turun naik rantaian bekalan global,” katanya.
Menurut Dr. Norhelmi, para petani tempatan masih banyak bergantung kepada import baja dari luar negara.
“Apabila berlaku ketegangan geopolitik atau kenaikan kos insurans perkapalan antarabangsa, kos input tanaman di peringkat hulu (penanaman) akan mencanak naik secara mendadak,” jelas beliau.
Justeru, kata beliau lagi, kombinasi Insentif Pesawah dan BUDI Agri-Komoditi ini hadir tepat pada masanya untuk menyerap kejutan kos baja dan racun.
Manakala di peringkat hilir (pengangkutan), ujar Dr Norhelmi, kenaikan BUDI Diesel Individu bertindak sebagai perisai penting bagi memastikan kos logistik membawa hasil segar dari ladang ke pasaran kekal terkawal, sekali gus menstabilkan harga rantaian bekalan untuk manfaat pengguna akhir.

Anjakan inovasi: Sisa tani jadi ’emas’
Bagaimanapun, kata Dr Norhelmi, subsidi tidak boleh dijadikan sebagai tongkat untuk penyelesaian kekal.
“Sektor agromakanan negara perlu segera keluar daripada kepompong kebergantungan untuk membina sebuah ekosistem yang mandiri,” ujarnya.
Tambah Dr Norhelmi, wang lebihan daripada bantuan kerajaan ini tidak sepatutnya dibelanjakan secara ‘gali lubang, tutup lubang’ untuk menampung kos sara hidup harian semata-mata.
“Sebaliknya, golongan petani perlu diberi pendidikan untuk melihat dana ini sebagai modal pelaburan ke arah mengadaptasi teknologi dan pertanian moden,” ujarnya.
Dr. Norhelmi menegaskan petani perlu mula berfikir di luar kotak dengan mempelbagaikan produk bernilai tambah.
“Sebagai contoh, industri penanaman padi tidak seharusnya berakhir selepas beras dituai. Sisa buangan biomas seperti hampas dan jerami padi sebenarnya mempunyai nilai komersial yang amat tinggi jika diproses menggunakan teknologi pascatuai yang betul, sama ada dijadikan palet makanan ternakan ataupun bahan asas industri pembungkusan mesra alam.
Inilah anjakan paradigma yang diharapkan iaitu transisi daripada sekadar bertahan untuk ‘survival’ kepada usaha penciptaan kekayaan baharu melalui inovasi berterusan.
Bantuan MADANI telah membuka jalan dan menyuntik modal, kini tanggungjawab terletak di bahu petani untuk mengubah sisa menjadi emas dan menjamin kelestarian makanan negara.




