KUALA LUMPUR – Kementerian Luar mengemas kini nasihat perjalanan ke rantau Asia Barat dan menggesa rakyat Malaysia termasuk jemaah haji supaya mendaftar keberadaan serta mengemas kini maklumat perhubungan melalui portal e-Konsular.
Dalam kenyataan hari ini, Wisma Putra memaklumkan kemas kini itu dibuat susulan pengumuman gencatan senjata selama dua minggu pada 8 April lalu yang membawa kepada perkembangan positif secara berperingkat di rantau berkenaan.
Menurut kenyataan itu, situasi semasa turut menyaksikan pembukaan semula ruang udara serta operasi penerbangan yang beroperasi secara terhad.
“Rakyat Malaysia dinasihati sentiasa meningkatkan tahap waspada, elak kawasan aktiviti ketenteraan dan perhimpunan awam serta mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
“Selain itu sentiasa mengambil maklum dan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang gangguan penerbangan, kelewatan atau perubahan dalam urusan perjalanan,” katanya.
Sehubungan itu, rakyat Malaysia termasuk jemaah haji juga digalakkan memuat turun aplikasi MyWorldAlert bagi mendapatkan maklumat konsular terkini serta berhubung dengan Perwakilan Diplomatik Malaysia terdekat sekiranya berlaku kecemasan.
Kementerian itu akan terus memantau perkembangan di rantau Asia Barat dan mengemas kini nasihat perjalanan dari semasa ke semasa mengikut keperluan.
Keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia kekal menjadi keutamaan utama pihak kementerian.





