
PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan media sosial sebagai platform perdebatan provokatif yang melanggar undang-undang sehingga memicu kontroversi.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas berikutan segelintir pengguna media sosial sejak kebelakangan ini dikesan menyebarkan hantaran atau komen berbaur hasutan serta perdebatan bersifat provokatif mengenai dasar kerajaan dan isu semasa.
Beliau menekankan bahawa trend sedemikian bukan saja menjejaskan keharmonian dalam ruang siber, malah mewujudkan ekosistem maya yang tidak sihat.
“Tindakan ini berpotensi mencetuskan ketegangan dalam masyarakat jika tidak dibendung melalui penguatkuasaan.
“Tindakan tidak bertanggungjawab ini jelas bertentangan peruntukan undang-undang, khususnya bawah Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang melarang sebarang perbuatan, ucapan atau penerbitan yang berkecenderungan menghasut atau menimbulkan kebencian terhadap institusi diraja dan kerajaan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Kumar memaklumkan, sepanjang tempoh tiga bulan pertama tahun ini, sebanyak 30 kes bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 telah direkodkan.
Katanya, ia berkaitan kesalahan melakukan ataupun cuba melakukan apa-apa perbuatan atau perkataan yang menghasut terhadap institusi diraja, kaum, pentadbiran keadilan dan kerajaan.
Jika sabit kesalahan, beliau berkata, boleh dihukum denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati menyalahgunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi bagi maksud yang menyalahi undang-undang,” katanya.




