
KANGAR – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang dijadualkan berlangsung minggu depan ditangguhkan ke suatu tarikh baharu yang akan ditetapkan kelak.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis menerusi surat rasmi bertarikh 17 April 2026.
Persidangan berkenaan sebelum ini dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 21 hingga 23 April 2026.
Difahamkan penangguhan persidangan itu dimaklumkan dan tarikh baharu akan dimaklumkan kemudian selepas mendapat perkenan Tuanku Raja Perlis.
“Sehubungan dengan itu, dimaklumkan bahawa Majlis Istiadat Perasmian Penggal Persidangan Keempat dan Mesyuarat Pertama, Penggal Persidangan Keempat, Dewan Undangan Negeri Perlis Ke-15 yang dijadualkan pada 21 hingga 23 April 2026 ditangguhkan ke suatu tarikh baharu yang akan ditetapkan kelak,” menurut kenyataan itu.
Surat berkenaan turut merujuk kepada surat pentadbiran terdahulu berkaitan perkara sama.
Bagaimanapun, kandungan surat tersebut tidak menyatakan sebab atau alasan penangguhan persidangan DUN berkenaan.
Dalam pada itu, pihak berkenaan merakamkan penghargaan atas perhatian dan kerjasama semua pihak terlibat.
“Segala perhatian dan kerjasama pihak tuan amatlah dihargai dan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih,” jelas kenyataan itu.




