
SUNGGUH mengejutkan! Itulah luahan penganjur pertandingan bola sepak daerah Padang Terap Piala Tok Det (Datuk Seri Mahdzir Khalid) yang terkejut dengan sambutan peminat bola sepak yang membanjiri padang Institut Kemahiran Belia Negara ( IKBN) di Naka semalam.
Difahamkan hampir 3,000 penonton membanjiri padang sukan itu bagi menyaksikan pertandingan bola sepak peringkat akhir kejohanan itu.
Piala Tok Det yang bermula empat tahun lalu selalunya sambutannya meriah ala-ala seperti peringkat daerah sahaja.
Semalam penganjur terkejut dengan sambutan yang diberikan oleh peminat bola sepak terutamanya dari golongan muda dan keluarga mereka yang menghadiri perlawanan itu.
Pada perlawanan itu pasukan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Barokas berjaya mengalahkan PDM Kuala Tekai 4-2.
Menurut penganjur sebelum ini setiap kali pertandingan akhir penonton hanya sekitar ratusan sahaja berbanding semalam.
Itu tidaklah mengejutkan kerana piala yang dipertandingkan pun hanya di peringkat daerah Padang Terap sahaja.
Apa yang menghairankan bilangan penonton yang datang itu dikatakan melebihi dari penyokong Hijau Kuning hanya menarik ratusan penonton sahaja pada setiap perlawanan sejak akhir-akhir ini.
Jumlah kehadiran penonton setiap kali pasukan Kedah beraksi menentang pasukan lawan sungguh menyedihkan.
Ini jelas menunjukkan golongan muda terutamanya peminat bola sepak Kedah sudah kecewa dengan kepimpinan bola sepak Kedah hari ini.
Ini secara tidak langsung menunjukkan ketidakpuasan peminat bola sepak Kedah terhadap Presiden KFA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang gagal membawa skuad jelapang padi itu maju ke hadapan.
Mereka merindui suasana kemeriahan bola sepak semasa berada di puncak kejayaan seperti tahun-tahun yang lalu.
Senario keadaan bola sepak Kedah hari ini seolah-olah tiada hala tuju lagi apabila bermula dari jurulatih dan pemainnya sudah mengangkat kaki berhijrah ke negeri lain.
Sekiranya Sanusi gagal membawa pulang sebarang piala pada zaman dinastinya, ini adalah sesuatu yang sangat malang dan memalukan.
Peminat bola sepak terutamanya golongan muda kini hanya memerhati dari jauh gelagat pemimpin yang dikatakan The Greater itu.
Bermulanya dari kebangkitan bola sepak Kedah, mantan Menteri Besar Kedah seperti Datuk Seri Syed Razak Syed Zain, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanifah, kesemua mereka berjaya membawa pulang sekurang-kurangnya satu piala buat rakyat di negeri Kedah ini.
Kesemua mereka ini merupakan bekas Presiden Bola Sepak Kedah.
Jadi mampukah Sanusi turut mengikuti jejak kejayaan seperti mantan Presiden KFA sebelum ini?
Sanusi tidak sepatutnya melepaskan tangan atau tanggungjawab apabila berlakunya krisis dalam pasukan Hijau Kuning seperti hari ini.
Seandainya pada hari ini Kedah menjadi juara siapakah orang pertama akan menjulang piala dari pemain setibanya mereka di lapangan terbang?
Walaupun kemeriahan semangat bola sepak Kedah terutamanya di daerah-daerah kian dingin dengan kemerosotan mutu bola sepak Kedah hari ini tetapi inisiatif Tok Det harus diberi pujian yang tetap menyemarakkan sukan nombor satu Kedah itu.
Liga di daerah perlu diadakan supaya semangat anak muda dalam bola sepak tidak akan luntur dan tidak mengikut rentak serta onar yang dilalui oleh KDA FC hari ini.
Tidak dapat dinafikan sukan bola sepak negeri sangat berkait rapat dengan politik.
Sekiranya pemimpin itu gagal menerajui pentadbiran sedikit sebanyak ia akan tempias kepada sukan rakyat nombor satu di Kedah ini.





