
PUTRAJAYA – Sebanyak 463 permohonan untuk menurunkan kandungan berita palsu berkaitan krisis bekalan global di platform media sosial diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) setakat jam 7 pagi, hari ini.
Jurucakap Kerajaan merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, semua permohonan itu telah disalurkan kepada penyedia platform masing-masing untuk tindakan lanjut.
“Setakat jam 7 pagi Rabu (22 April), jumlah keseluruhan permohonan menurunkan kandungan adalah sebanyak 463.
“Berdasarkan aduan yang diterima, Facebook mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 185 permohonan, diikuti TikTok (142) dan Threads (131), selain platform lain,” katanya pada sidang media mingguan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihak berkuasa tidak akan berkompromi terhadap penyebaran maklumat tidak sahih, dengan sebanyak 95 kertas siasatan telah dibuka setakat ini.
“Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk mendakwa di mahkamah bagi satu kes, manakala bagi lima kes lain, pihaknya menasihatkan supaya kompaun dikenakan. Baki kes masih dalam siasatan,” katanya.

