
SEBUYAU – Program STEM Catalysts 2026 yang berlangsung di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Sebuyau di sini berjaya memperkasa lebih 260 pelajar generasi baharu untuk mendepani teknologi masa depan.
Inisiatif yang melibatkan penyertaan daripada 13 sekolah itu direka khusus untuk merapatkan jurang kebolehcapaian Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM), khususnya bagi para pelajar di kawasan luar bandar. Ia dilaksanakan menerusi penyediaan pengalaman pembelajaran secara amali serta pelbagai demonstrasi interaktif.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, pendedahan awal terhadap pendidikan STEM amat kritikal dalam usaha membina asas yang kukuh bermula dari bangku sekolah rendah.
”Ini bagi memastikan saluran bakat yang mampan dapat dilahirkan untuk masa hadapan.
“Saya percaya program ini sangat sesuai terutamanya bagi pelajar di luar bandar. Dengan memupuk minat awal terhadap STEM, ia menjadi pemangkin untuk mereka mendalami mata pelajaran ini pada peringkat yang lebih tinggi pada masa akan datang,” katanya.
Meskipun menyambut baik kejayaan kohort pada kali ini, beliau pada masa sama turut mencabar pihak penganjur agar memperluaskan skala inisiatif tersebut supaya dapat menjejaki setiap pelajar di daerah berkenaan.
Mengulas lanjut, Julaihi menjelaskan terdapat 19 sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah di sekitar Sebuyau pada ketika ini.
“Melangkah ke hadapan, saya percaya ia akan memberi impak yang lebih besar jika pelajar dari kesemua sekolah ini dapat dihimpunkan. Inisiatif sedemikian sudah pasti akan menjadikan program ini lebih menarik dan bermakna pada masa depan,” tambah beliau.
Untuk rekod, program STEM Catalysts 2026 telah digerakkan oleh Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak.

Ia dianjurkan dengan kerjasama Sarawak Skills, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), dan beberapa institusi rakan kongsi lain.
Program tersebut turut dihadiri oleh wakil daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Simunjan, iaitu Loh Boon Piaw dan Cikgu Ismail Suhai.
Sebuyau merupakan destinasi fasa terakhir bagi siri jelajah program berkenaan di wilayah selatan Sarawak, selepas ia berjaya dilaksanakan di Kota Samarahan, Simunjan, dan Betong.
Platform penting ini terus komited dalam membantu pelajar luar bandar meneroka teknologi moden dan membina kemahiran menyelesaikan masalah yang amat berharga untuk landskap ekonomi digital.





