PUTRAJAYA – Kerajaan mengesahkan bekalan diesel sebanyak 200 juta liter yang dilaporkan sedang dihantar ke Australia bukan milik Malaysia.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pengesahan itu dibuat selepas semakan bersama Pusat Arahan Komunikasi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) serta agensi berkaitan.
“Saya ada membaca laporan dari sebuah agensi berita dari Australia yang dimaksudkan 200 juta liter diesel itu membabitkan sejumlah negara, termasuk Brunei dan Malaysia.
“Namun, semakan dengan pihak Pusat Arahan Komunikasi MTEN serta beberapa pihak yang lain, mengesahkan bahawa itu bukan diesel Malaysia, sama seperti dakwaan kes penghantaran diesel ke Filipina (sebelum ini),” katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.
Sebelum ini, laporan media antarabangsa memetik kenyataan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese yang memaklumkan tambahan bekalan diesel berjumlah 200 juta liter sedang dalam perjalanan ke negara itu.
Portal News.com.au turut melaporkan bekalan tersebut didakwa berasal dari Korea Selatan serta melibatkan Brunei dan Malaysia.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, bekalan berkenaan sebenarnya sebahagian daripada kontrak perdagangan Australia dengan syarikat petroleum antarabangsa, British Petroleum.
Beliau menjelaskan Australia mempunyai perjanjian dengan syarikat itu yang memiliki kemudahan penyimpanan di perairan Malaysia, manakala kapal yang membawa diesel berkenaan hanya berlepas dari negara ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, tiada maklumat baharu setakat ini berhubung rundingan Petronas untuk mendapatkan bekalan minyak dari Rusia.



