
MIRI – Keadaan cuaca panas dan kering yang melanda daerah ini mencetuskan kebimbangan susulan peningkatan kes kebakaran belukar yang dilaporkan semakin kerap berlaku sejak kebelakangan ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang juga Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, kejadian berulang itu memaksa anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bertungkus-lumus mengawal keadaan, malah ada kalanya melibatkan kawasan yang sama.
Menurutnya, situasi tersebut secara tidak langsung memberi tekanan besar kepada pasukan penyelamat berkenaan dari segi keperluan tenaga kerja, kekangan masa serta sumber peralatan operasi.
“Pada masa sama, cuaca panas berserta ancaman jerebu turut menjejaskan keselesaan orang ramai, sekali gus memberi kesan meluas kepada kesihatan dan aktiviti harian masyarakat.
“Sebagai langkah segera, kita telah menyalurkan bantuan peralatan bagi menyokong operasi pemadaman di samping sumbangan ke dalam tabung kebajikan JBPM sebagai tanda penghargaan atas komitmen luar biasa mereka dalam keadaan mencabar ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Choon Man memaklumkan bahawa beliau telah berhubung dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi memohon penambahan anggota bomba sebagai inisiatif sementara untuk membantu menangani krisis semasa.
Jelasnya, permohonan itu turut dikemukakan bagi mendapatkan peruntukan tambahan demi memastikan setiap operasi dapat dilaksanakan dengan lebih selamat dan berkesan.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan penduduk sekitar Miri supaya lebih bertanggungjawab dengan mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka.
“Jangan sesekali meninggalkan api tanpa pengawasan kerana kecuaian kecil boleh mencetuskan kebakaran berskala besar ketika musim kemarau ini.
“Agensi berkaitan juga akan diarah untuk memantau tahap kualiti udara dari semasa ke semasa serta mengambil langkah proaktif bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan awam terus terpelihara,” ujarnya.





