Oleh: Ynom, Vie Lexi
KOTA KINABALU – Usaha menyelesaikan masalah kos sara hidup yang tinggi menjadi harapan utama rakyat menjelang pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober ini.
Menurut Vian Roh, 25, pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), dia berharap dalam Belanjawan 2025 kerajaan memperuntukkan lebih banyak dana untuk menyelesaikan masalah kos sara hidup yang dihadapi rakyat.
“Harapan besar saya supaya banyak peruntukan dikhaskan untuk memperbaiki isu kos sara hidup sebab isu paling besar sekarang ialah kos sara hidup.
“Isu kos sara hidup kita boleh lihat di mana-mana di kampung, di bandar pun sama semua bercakap pasal kos sara hidup yang semakin tinggi.
“Semoga kerajaan mengekalkan dan menambah lebih banyak lagi subsidi barangan asas,” katanya.
Dalam pada itu, Vian turut berharap agar kerajaan turut menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada para graduan.
“Sebagai sorang pelajar IPT saya berharap agar pembentangan belanjawan kali ini ada khabar baik untuk kami.
“Memandangkan saya pun tinggal setahun lagi sebelum bergraduasi, saya berharap kerajaan dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya lagi.
Tambahnya, dia turut mengharapkan lebih banyak bantuan akan disalurkan kepada pelajar khususnya dalam kalangan pelajar B40.
Sementara itu, Haritah Kinsu, 36, turut berkongsi harapan sebagai usahawan kecil agar ada inisiatif dari kerajaan yang dapat meredakan tekanan ekonomi dan menstabilkan harga barang.
”Saya berharap kerajaan dapat menyediakan lebih banyak inisiatif kewangan supaya kami boleh menambah stok dan mengembangkan perniagaan
”Di samping itu, saya juga berharap agar syarat untuk memohon bantuan diberi kelonggaran terutamanya dalam bidang pembuatan.
”Betul, banyak bantuan disediakan oleh kerajaan namun syarat-syarat yang diberi sangat ketat,” katanya ketika dihubungi.
Haritah berkata, secara keseluruhan, dia berharap Belanjawan 2025 bukan sahaja dapat menangani isu kos barangan tetapi juga memberi tumpuan kepada sokongan kewangan.
”Harapan ini mencerminkan betapa pentingnya tindakan proaktif dari pihak kerajaan dalam menyokong kelangsungan para usahawan yang menjadi tulang belakang ekonomi negara,” katanya.
Beliau juga turut mencadangkan jika kerajaan menyediakan peluang dan bajet kepada usahawan kecil untuk mengikuti taklimat, kursus atau bengkel pelbagai kemahiran yang dibuat secara percuma.
Seorang lagi pengusaha kecantikan, Jiclyn Furut@Furet, 44, berkata, kerajaan perlu membantu usahawan baharu agar dapat diberi peluang dan sokongan penuh untuk mendapatkan geran usahawan tanpa bayaran pendahuluan.
”Contoh sekarang beberapa agensi pengendali geran kerajaan, mereka minta usahawan bayar 20-30 peratus dulu. Baru boleh dapat geran.
”Bagaimana usahawan yang baru mahu bermula? Mereka perlukan sokongan penuh,” katanya.
Selain itu, dia juga mencadangkan agar Bajet 2025 dapat mengutamakan para usahawan yang mempunyai produk yang berpotensi tinggi ke peringkat global terutama sekali dalam penyelidikan dan pembangunan termasuk persijilan serta keperluan yang memerlukan kos tinggi di luar kemampuan.
Mengulas lanjut mengenai kos sara hidup katanya, perlu banyak inisiatif dan usaha untuk mengutamakan barangan tempatan daripada barangan import kerana apabila produk tempatan dapat dibangunkan sudah tentu itu mendatangkan hasil kepada ekonomi negeri Sabah.
Dia berharap agar kerajaan lebih fokus terhadap peluang dan ruang para usahawan wanita selain seterusnya mereka dapat menampung beban kos sara hidup zaman sekarang.







