
DUNGUN – Program Ziarah Shifa (Cakna Ihsan) Sejahtera MADANI di bawah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Negeri Terengganu terus memperkukuh agenda kebajikan apabila menyantuni seorang pesakit strok, Norazeta Mohammed Abdul Kadir, 43, di Kampung Sura Tengah, di sini, baru-baru ini.
Norazeta kini bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda selepas diserang strok tahun lalu. Beliau turut berdepan penyakit kencing manis serta komplikasi jantung, manakala suaminya pula sedang menerima rawatan di hospital akibat kemalangan jalan raya, menjadikan keluarga berkenaan berada dalam keadaan serba mencabar.
Kehadiran Pasukan Penyelarasan bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) Terengganu yang diketuai Pengarah JPP Terengganu, Datuk Abdul Kahar Abdul Latif, mencerminkan keprihatinan berterusan Kerajaan MADANI terhadap kebajikan rakyat, khususnya golongan yang memerlukan.
Menurut beliau, bantuan yang disalurkan melalui inisiatif Sejahtera MADANI (Kebajikan) diharap mampu meringankan beban ditanggung keluarga berkenaan, di samping memastikan kebajikan mereka terus terbela.
“JPP di bawah ICU sentiasa komited memastikan golongan sasar menerima manfaat daripada setiap inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan MADANI selaras dengan gagasan Malaysia MADANI,” katanya.
Program Sejahtera MADANI merupakan antara inisiatif kerajaan dalam memperkasa kesejahteraan rakyat, khususnya golongan miskin tegar, dengan matlamat membantu mereka keluar daripada garis kemiskinan serta meningkatkan kualiti hidup secara menyeluruh.




