
TAWAU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan pasangan suami isteri dipercayai mengemukakan tuntutan palsu kepada Sabah Electricity Sendirian Berhad (SESB) membabitkan pembekalan minyak diesel, 11 tahun lalu.
Perbuatan pasangan berumur 50 hingga 60-an yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan bekas pengarah eksekutif di sebuah syarikat swasta itu dipercayai telah membuat 15 tuntutan palsu berjumlah lebih RM650,000.
Menurut sumber, pasangan terbabit telah ditahan kira-kira pukul 10.55 pagi pada Selasa ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan itu pada tahun 2013 membabitkan kontrak pembekalan minyak diesel bagi kegunaan set jana kuasa elektrik yang diperoleh oleh syarikat tempat mereka bekerja.
“Bagaimanapun, pembekalan minyak berkenaan yang sebenar tidak sama seperti dalam tuntutan dibuat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy mengesahkan tangkapan pasangan berkenaan yang akan disiasat di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
Katanya, kedua-dua suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Tawau pada Khamis.
Karunanithy juga tegas mengingatkan agar mana-mana pihak tidak terlibat dengan kegiatan pemalsuan dokumen kerana ia merupakan satu kesalahan jenayah dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.







