KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas segelintir pihak termasuk golongan akademik yang didakwa sengaja membina naratif mengelirukan mengenai peruntukan kuota pendidikan.
Beliau mengingatkan Program Matrikulasi pada asalnya diwujudkan 100 peratus untuk Bumiputera sebelum kerajaan membuka ruang 10 peratus bagi membantu anak-anak bukan Melayu yang miskin dan terpinggir.
“Ada yang menulis, ada yang kategori pensyarah saya tak tahu dia pensyarah apa atau ada yang digelar profesor. Profesor ini harus menukil, memahami dan bersikap adil.
“Dia ambil di situ, dia kata 90 peratus dihadkan atau diperuntukkan kepada Bumiputera tetapi dia tidak sebut itu hanya program matrikulasi (yang asalnya 100 peratus Bumiputera),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan 60 Tahun MARA di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Ahad.
Sehubungan itu, Perdana Menteri meminta semua pihak agar melihat dasar kerajaan secara menyeluruh dan tidak mencetuskan persepsi zero-sum game yang boleh menjejaskan keharmonian negara.
Sebelum ini, Anwar memaklumkan, Kerajaan mengekalkan kuota 90 peratus Bumiputera dalam kemasukan ke Program Matrikulasi sebagai usaha memastikan akses pendidikan lebih adil dan inklusif buat seluruh pelajar di negara ini.
Menurut beliau, keputusan itu selari dengan prinsip pendemokrasian pendidikan yang memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat, khususnya golongan luar bandar.
Beliau berkata, dasar pendidikan tidak boleh hanya tertumpu kepada kelompok elit kerana ia akan menyebabkan jurang pendidikan terus melebar.
Dalam masa sama, Anwar menegaskan pelajar cemerlang tetap diberi pengiktirafan apabila kerajaan memutuskan semua pelajar yang memperoleh keputusan 10A seramai 6,717 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan ditawarkan tempat secara automatik ke Program Matrikulasi atau laluan setara.
Menurutnya, langkah itu bertujuan mengimbangi antara kecemerlangan akademik dan keadilan sosial dalam sistem pendidikan negara.




