
MATUNGGONG – Seramai 108 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di kawasan Matunggong menerima insentif penghargaan, sekali gus mencerminkan peningkatan prestasi akademik yang konsisten dalam kalangan pelajar luar bandar.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, program yang diperkenalkan sejak 2019 itu membuktikan komitmen berterusan dalam menyokong kecemerlangan pendidikan, khususnya di kawasan luar bandar.
“Sepanjang tujuh tahun pelaksanaan program ini, jumlah pelajar cemerlang di Matunggong menunjukkan peningkatan yang konsisten.
“Kini, semakin ramai pelajar mencapai keputusan 7A, 8A hingga 10A, membuktikan sokongan berterusan mampu menghasilkan kemajuan sebenar,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong turut menasihati pelajar agar membuat pilihan bijak dalam menentukan hala tuju masa depan.
“Masa depan ditentukan oleh pilihan harian. Utamakan disiplin berbanding motivasi dan bina sahsiah berbanding memilih jalan mudah,” katanya.
Dari segi pencapaian sekolah, SMK Pinawantai mencatatkan 11 pelajar memperoleh 5A, tujuh (6A), lima (7A), dua (8A) dan empat (9A).
Manakala, SMK Sikuati pula merekodkan 18 pelajar memperoleh 5A, 12 (6A) dan tiga (7A), manakala SMK Sikuati II mencatatkan 16 pelajar (5A), lima (6A), lima (7A), seorang (8A) dan empat (9A).
Turut membanggakan, dua pelajar dari luar daerah berjaya memperoleh keputusan cemerlang 10A.
Majlis penyampaian insentif itu diadakan di Dewan Mini Urusetia Daerah Kecil Matunggong pada Sabtu, melibatkan pelajar daripada SMK Pinawantai Kudat, SMK Sikuati dan SMK Sikuati II, selain lapan pelajar dari Matunggong yang kini menuntut di luar daerah.
Insentif yang disalurkan adalah antara RM500 bagi pelajar memperoleh 5A hingga RM1,000 bagi pencapaian 10A.
Program insentif ini bertujuan memberi pengiktirafan kepada pencapaian pelajar serta menggalakkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.




