
KUCHING – Pada era lambakan maklumat di hujung jari, masyarakat perlu bijak membezakan antara hantaran di media sosial dengan laporan kewartawanan yang sebenar.

Tokoh akademik, Profesor Datuk Dr. Ahmad Murad Merican berkata, kekeliruan sering timbul apabila orang ramai mula menganggap pempengaruh media sosial atau ‘netizen’ sebagai wartawan.
Tegasnya, profesion kewartawanan mempunyai etika dan integriti tersendiri yang memisahkan secara jelas antara laporan fakta berita dan ruang untuk pendapat atau komentar.
“Media sosial bukan kewartawanan. Kita perlu melihat semula definisi profesion ini agar masyarakat kembali merujuk kepada sumber yang mempunyai autoriti dan integriti tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Wacana Media anjuran Malaysian Press Institute (MPI) bertajuk ‘Kebebasan Media: Siapa Mengawal Naratif?’ secara dalam talian bersempena sambutan Hari Kebebasan Media Sedunia pada 3 Mei.

Turut bertindak sebagai panel ialah Penasihat Editorial BebasNews, Datuk Zaini Hassan dan Pengarah Eksekutif Centre for Independent Journalism (CIJ), Wathshlah Naidu.
Sementara itu, Zaini menegaskan orang ramai kini mula beralih kepada penyedia audio siar (podcast) bebas kerana media arus perdana dilihat semakin hilang keupayaan untuk bertindak sebagai ejen semak dan imbang.
Jelas beliau, stesen penyiaran awam seharusnya berfungsi sebagai saluran milik rakyat, bukannya sekadar menjadi jentera kerajaan yang mengulang pelbagai slogan semata-mata.

Pandangan tersebut turut disokong oleh Wathshlah yang melihat wujudnya keperluan mendesak untuk pengamal media memperbanyakkan laporan berbentuk kepentingan awam dan kewartawanan penyiasatan.
Menurutnya, masyarakat hari ini lebih mendahagakan berita yang menyentuh kelangsungan hidup mereka berbanding sekadar mengikuti laporan harian aktiviti menteri.
Wacana tersebut turut membangkitkan kebimbangan mengenai kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media tahun ini yang merosot ke tangga 95, sebahagian besarnya berpunca daripada kekangan perundangan dan iklim politik.
Meskipun kebebasan media bukanlah lesen mutlak, barisan panel sepakat bahawa ia kekal relevan bagi memastikan rakyat terus menerima maklumat yang sahih serta berani menegur pihak berkuasa demi kebaikan bersama.





