
KOTA KINABALU – Rakyat di Sabah dan Sarawak terus mengekalkan akses kepada diesel bersubsidi pada kadar RM2.15 seliter dengan kawalan penggunaan tertentu, sebagai langkah Kerajaan MADANI melindungi kos sara hidup dan aktiviti ekonomi setempat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, keputusan berkenaan dibuat mengambil kira ketidaktentuan harga tenaga global, kos logistik yang tinggi serta cabaran geografi dan infrastruktur unik di Sabah dan Sarawak.
”Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan beberapa langkah berkaitan penstrukturan subsidi bahan api dalam menghadapi ketidaktentuan harga tenaga global serta keperluan pengurusan fiskal negara yang lebih mampan.
”Dalam konteks ini, rakyat di Sabah dan Sarawak masih mengekalkan akses kepada diesel bersubsidi pada kadar RM2.15 seliter dengan kadar penggunaan terkawal, di samping pelaksanaan inisiatif seperti BUDI95 pada kadar RM1.99 seliter dengan had 200 liter sebulan.
”Langkah ini hadir dalam keadaan di mana kos sara hidup dan kos logistik di Sabah dan Sarawak kekal tinggi berikutan faktor geografi dan cabaran infrastruktur. Justeru, sebarang perubahan dasar berkaitan bahan api memberi kesan langsung kepada kehidupan harian rakyat serta aktiviti ekonomi setempat,” ujarnya.
Menurut Mustapha, keputusan berkenaan adalah bukti jelas bahawa Kerajaan MADANI sentiasa mendengar denyut nadi rakyat di Borneo.
”Keunikan geografi, kos logistik dan cabaran pembangunan di Sabah dan Sarawak diambil kira secara serius dalam setiap keputusan dasar nasional bersesuaian dengan penggunaan diesel yang agak tinggi di kedua-dua negeri.
”Dalam pelaksanaan dasar ini, adalah penting untuk semua pihak termasuk pengguna, pengusaha industri dan agensi penguatkuasaan memainkan peranan masing-masing dalam memastikan dasar ini berjalan dengan baik dan memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhan,” kongsinya.
Mustapha turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas perhatian yang diberikan terhadap keperluan rakyat Sabah dan Sarawak dalam pelaksanaan dasar berkenaan.
Terdahulu, Perdana Menteri telah mengumumkan langkah-langkah strategik negara dalam memperkukuh kesiapsiagaan mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat, dalam satu siaran khas, pada Khamis.







