Kerugian hampir RM13 bilion Tabung Haji ditanggung bersama

KUALA LUMPUR – Kerugian hampir RM13 bilion yang berpunca daripada salah urus kewangan dan pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH) sebelum 2018 akhirnya ditanggung bersama oleh kerajaan, pembayar cukai dan pendeposit.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, daripada jumlah itu, RM10.2 bilion merupakan kerugian yang ditanggung kerajaan melalui Urusharta Jamaah pada 2018, manakala RM2.6 bilion lagi membabitkan rosot nilai yang ditanggung TH sendiri.

“Salah urus Tabung Haji ditanggung semua, beban kerugian yang dipindah kepada kerajaan akhirnya dipikul rakyat dan semua pembayar cukai, sementara kerugian yang ditanggung Tabung Haji akhirnya menjejaskan pendeposit.

“Kerana kerugian dipikul semua rakyat, akauntabiliti bukan pilihan,” katanya ketika menggulung perbahasan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan, ketika membentangkan penerangan kerajaan berkata, kerugian yang berlaku akibat salah urus kewangan dan pelaburan sebelum 2018 tidak boleh dianggap sebagai sekadar angka.

“Maka menjadi tanggungjawab kita semua untuk menerima kebenaran, memperbetulkan kelemahan dan memastikan sejarah yang sama tidak akan berulang,” katanya.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, Laporan RCI mendapati 14 pelaburan bermasalah dan proses kelulusan mencurigakan, termasuk insiden penyembunyian maklumat serta manipulasi laporan kesesuaian pelaburan.

Tujuh daripada 14 pelaburan tersebut telah rugi 100% nilai pelaburan, termasuk Al-Rawda (RM1.8 bilion), Putrajaya Perdana (RM193 juta) dan Trurich Resources (RM364 juta).

Lima kertas siasatan telah dibuka; tuntutan sivil dikejar di dalam dan luar negara, termasuk penyiasatan atas mantan pengerusi dan satu pengurusan tertinggi berhubung kekayaan yang tidak dapat dijelaskan.

Menurutnya, kerajaan tidak akan campur tangan dan tidak akan melindungi sesiapa; keputusan pendakwaan terletak sepenuhnya pada Pendakwa Raya.

“Atas sebab yang sama juga, kerajaan komited memastikan krisis ini tidak berulang,” katanya.

Dalam usaha memastikan krisis sama tidak berulang, beliau berkata, kerajaan akan meneruskan pindaan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) selaras dengan syor RCI.

Antara cadangan ialah memperkenalkan kawal selia Suruhanjaya Sekuriti Malaysia terhadap aktiviti pelaburan TH.

Sementara itu, Kementerian Kewangan menegaskan, kedudukan kewangan TH kini stabil dan semakin kukuh hasil usaha pemulihan yang dilaksanakan.

Sehingga 31 Disember 2025, TH mempunyai aset berjumlah RM98.58 bilion, melebihi liabiliti sebanyak RM95.63 bilion.

Dana simpanan pendeposit turut meningkat daripada RM75.4 bilion pada 2018 kepada RM93.4 bilion pada 2025 dan kadar agihan pula meningkat daripada 1.25 peratus pada 2018 kepada 3.50 peratus pada 2025, membabitkan jumlah agihan RM3.22 bilion.

Amir Hamzah dan Zulkifli turut memberi jaminan simpanan pendeposit TH adalah selamat kerana keseluruhan simpanan setiap pendeposit dijamin Kerajaan di bawah Seksyen 24 Akta 535.

Jaminan itu, katanya, telah wujud sejak TH ditubuhkan dan kekal sehingga kini.

Kementerian itu menegaskan komitmen untuk terus memastikan kestabilan TH serta menjaga simpanan rakyat demi kepentingan generasi hari ini dan akan datang.

Related Posts

RCI baharu perlu ditubuh siasat pengurusan, operasi Tabung Haji antara 2021-2025

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) baharu bagi menyiasat pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH). Ketika…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Penangguhan RCI beri peluang TH laksana syor dicadang, pulihkan organisasi

KUALA LUMPUR – Penangguhan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bertujuan memberi peluang kepada Lembaga Tabung Haji (TH) melaksanakan syor yang dicadangkan serta ruang dan masa untuk memulihkan organisasi itu.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

RCI baharu perlu ditubuh siasat pengurusan, operasi Tabung Haji antara 2021-2025

RCI baharu perlu ditubuh siasat pengurusan, operasi Tabung Haji antara 2021-2025

Penangguhan RCI beri peluang TH laksana syor dicadang, pulihkan organisasi

Penangguhan RCI beri peluang TH laksana syor dicadang, pulihkan organisasi

Kerugian hampir RM13 bilion Tabung Haji ditanggung bersama

Kerugian hampir RM13 bilion Tabung Haji ditanggung bersama

RCI Tabung Haji: Tujuh pelaburan catat kerugian, Al-Rawda tertinggi

RCI Tabung Haji: Tujuh pelaburan catat kerugian, Al-Rawda tertinggi

Ibrahim Ali sifatkan tindakan pembangkang keluar Dewan sebagai drama politik

Ibrahim Ali sifatkan tindakan pembangkang keluar Dewan sebagai drama politik

Akta Tabung Haji perlu dipinda segera bagi perkukuh tadbir urus, lindungi pendeposit

Akta Tabung Haji perlu dipinda segera bagi perkukuh tadbir urus, lindungi pendeposit