KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) baharu bagi menyiasat pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH).
Ketika perbahasan di Dewan Rakyat mengenai laporan RCI TH, Ahli Parlimen Tampin, Mohd Isam Mohd Isa mencadangkan supaya siasatan baharu itu meliputi tempoh 2021 hingga 2025, memandangkan siasatan sedia ada hanya merangkumi tempoh 2014 hingga 2020.
“Secara keseluruhannya, saya mendapati masih banyak perkara terlepas daripada skop RCI ini. Sudah tentu ia disebabkan tempoh yang diliputi agak terhad, iaitu dari 2014 hingga 2020.
“Sedangkan, banyak perkembangan penting berlaku di Tabung Haji selepas 2020. Oleh itu, tempoh yang diliputi RCI wajar dilanjutkan sekurang-kurangnya sehingga 2025.
“Sehubungan itu, saya menggesa supaya RCI baharu ditubuhkan bagi tempoh 2021 hingga 2025 untuk mengenal pasti kelemahan dalam pengurusan dan operasi Tabung Haji sepanjang tempoh berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Isam yang juga anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkata, isu berkaitan pengurusan dan tadbir urus TH bagi tempoh 2022 hingga 2026 juga perlu dirujuk kepada PAC untuk penelitian lanjut.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan sebarang kelemahan dalam pengurusan institusi berkenaan dapat dikenal pasti dan diperbetulkan.
“Selain itu, sebagai anggota PAC, saya mencadangkan supaya isu berkaitan pengurusan dan tadbir urus Tabung Haji turut dirujuk kepada PAC untuk penelitian yang lebih mendalam dan terperinci, khususnya bagi tempoh 2022 hingga 2026,” katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen PH Jelutong, RSN Rayer turut membangkitkan perkara sama dengan berkata RCI baharu perlu ditubuhkan bagi menyiasat pengurusan TH dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap masalah kewangan serta pengurusan institusi berkenaan.
Beliau berkata, RCI sedia ada tidak lengkap kerana tidak mengenal pasti dengan jelas pihak yang perlu dipertanggungjawabkan atau dikenakan tindakan susulan.
“Saya menggesa supaya RCI lain ditubuhkan dan jika perlu, siasatan itu mengesyorkan pihak yang sebenarnya bertanggungjawab serta tindakan susulan yang perlu diambil, termasuk mendakwa mereka di mahkamah,” katanya.
Dewan Rakyat bersidang khas selama sehari bagi membincangkan laporan RCI berkenaan, dengan persidangan bermula 10 pagi menerusi taklimat oleh Zulkifli, diikuti sesi pertanyaan dan perbahasan membabitkan Ahli Parlimen.
Laporan RCI setebal 211 halaman itu mendedahkan kelemahan tadbir urus, termasuk campur tangan politik dalam pengurusan serta pengagihan keuntungan tanpa mengambil kira susut nilai dan penurunan nilai saksama pelaburan secara mencukupi.
Laporan itu turut mendapati TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion pada 2017, berbanding keuntungan RM3.4 bilion yang dilaporkan, sekiranya Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) dilaksanakan sepenuhnya.


