Ibrahim Ali sifatkan tindakan pembangkang keluar Dewan sebagai drama politik

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali menyifatkan tindakan Ahli Parlimen pembangkang keluar dari Dewan Rakyat ketika Sidang Khas membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) sebagai drama politik yang tidak matang.

Ibrahim berkata, alasan pembangkang bahawa Perdana Menteri perlu hadir untuk membentangkan laporan RCI dan menjawab segala persoalan yang timbul daripada perbahasan adalah tidak munasabah.

“Apakah tanpa kehadiran Perdana Menteri yang menjalani rawatan, sidang Dewan Rakyat wajar ditangguhkan?

“Bukankah kerajaan ditadbir oleh Kabinet yang mempunyai dua Timbalan Perdana Menteri dan berpuluh-puluh anggota Kabinet? Bukankah urusan kerajaan adalah tanggungjawab kolektif anggota Kabinet?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, segala perbahasan di Dewan Rakyat direkodkan dan boleh dirujuk semula, manakala Perdana Menteri juga boleh mengikuti perjalanan perbahasan menerusi dalam talian atau siaran televisyen.

“Apa masalah sebenarnya?” katanya.

Ibrahim mendakwa tindakan pembangkang, khususnya Pas dan sekutunya, lebih kepada usaha menunjukkan pembelaan terhadap UMNO susulan laporan RCI TH yang membabitkan tempoh pengurusan terdahulu.

Menurutnya, isu berkenaan dilihat memberi kelebihan kepada kerajaan kerana siasatan RCI itu antara lain menyentuh pengurusan TH pada zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN).

“Tindakan pembangkang, Pas dan sekutu sejiwanya adalah mahu menunjukkan dan membuktikan betapa besar pengorbanannya membela BN atau UMNO kerana RCI TH melibatkan pemimpin UMNO.

“Justeru, UMNO akan terhutang budi kepada Pas dan sekutu sejiwanya,” katanya.

Ibrahim berkata, pembangkang sepatutnya menggunakan peluang perbahasan untuk membela kepentingan rakyat, khususnya pendeposit TH, bukannya meninggalkan Dewan Rakyat.

“Berhentilah bermain drama politik lebih-lebih. Belalah rakyat dan tegakkanlah kebenaran. Allah Maha Mengetahui,” katanya.

Terdahulu, Ketua Whip Pembangkang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu meminta sidang khas berkenaan ditangguhkan susulan ketidakhadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan.

Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menolak permintaan berkenaan dan memutuskan sidang diteruskan seperti dijadualkan dengan sesi penerangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan.

Susulan keputusan itu, wakil rakyat pembangkang daripada Perikatan Nasional (PN) keluar dari Dewan Rakyat dan tidak mengikuti sesi penerangan serta perbahasan laporan RCI TH.

Related Posts

Malaysia sedia RM5 juta untuk pembenihan awan, tawar bantuan logistik kepada Indonesia

KUCHING – Kerajaan Persekutuan kini bertindak beralih kepada pendekatan tindakan awalan bagi menangani situasi jerebu yang melanda negara dengan lebih berkesan, disokong oleh peruntukan keseluruhan berjumlah RM5 juta bagi Operasi…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Netizen bangga PMX tidak ‘termakan’ soalan provokasi isu Gaza, Israel

KETEGASAN dan ketenangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan berkaitan konflik Gaza, Israel dan Iran dalam satu wawancara bersama stesen televisyen India, Thanti TV baru-baru ini mendapat…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Malaysia sedia RM5 juta untuk pembenihan awan, tawar bantuan logistik kepada Indonesia

Malaysia sedia RM5 juta untuk pembenihan awan, tawar bantuan logistik kepada Indonesia

KUSKOP tambah peruntukan RM1 juta untuk lima projek Tamu Desa di Mas Gading

KUSKOP tambah peruntukan RM1 juta untuk lima projek Tamu Desa di Mas Gading

Jerebu makin buruk, empat kawasan di Terengganu catat IPU tidak sihat

Jerebu makin buruk, empat kawasan di Terengganu catat IPU tidak sihat

Jangan tanamkan kebencian, politik mesti membawa rahmah

Jangan tanamkan kebencian, politik mesti membawa rahmah

Tiada kompromi, sindiket e-PLKS palsu diburu hingga tumpas – Saifuddin

Tiada kompromi, sindiket e-PLKS palsu diburu hingga tumpas – Saifuddin

AI Talks Edisi Ke-2 perkasa literasi digital komuniti sempena Hari Malaysia

AI Talks Edisi Ke-2 perkasa literasi digital komuniti sempena Hari Malaysia