
TUTONG – Seorang lelaki berusia 20 tahun ditemui lemas selepas dipercayai hilang semasa berenang di Taman Rekreasi Wasai Bedanu, Kampung Mungkom, pada petang Jumaat lalu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sebelum menggerakkan operasi mencari dan menyelamat ke lokasi kejadian.
Seramai lapan anggota bomba bersama dua jentera telah dikerahkan, diketuai Penguasa Bomba dan Penyelamat dari Unit Penyelam JBP, Mushidee Junaidi serta Pemangku Timbalan Pegawai Balai Peranchis Bayang dari Balai Bomba Lamunin.
Menurut kenyataan JBP, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai lemas ketika sedang berenang di kawasan wasai berkenaan. Anggota bomba kemudiannya menjalankan operasi pencarian di kawasan yang dikenal pasti.
“Mangsa berjaya ditemui oleh anggota penyelam sekitar jam 9.37 malam sebelum diserahkan kepada pihak paramedik untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Turut berada di lokasi kejadian ialah Pasukan Polis Diraja Brunei (PDRB) seramai lima anggota diketuai Inspektor Abd Hadi Abdullah Biju dari Balai Polis Lamunin, tiga anggota tambahan diketuai Sarjan Polis Raimi Sahari serta Ketua Kampung Kiudang, Awang Md Rafaie Abd Rahim.
Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mematuhi aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti rekreasi air bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.







