PAYA RUMPUT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan ketegasan kerajaan dalam menangani kes rasuah dan penyelewengan bukan bertujuan menjatuhkan mana-mana pihak, sebaliknya bagi memastikan kekayaan negara tidak hanya dinikmati segelintir individu.
Beliau berkata, usaha membangunkan negeri dan negara tidak akan mencapai matlamat sekiranya terdapat pihak yang mengambil kesempatan untuk mengaut kekayaan melalui perbuatan mencuri dan menyalahgunakan kuasa.
“Ini negeri (negara) kalau kita jaga semua boleh angkat. Tapi kena curi semua tak cukup. Kalau semua mahu curi, mahu jadi kaya dua tiga orang, mana boleh cukup.
“Ini sebab you tengok kita strict (tegas). Banyak orang tak suka saya, saya faham. Banyak orang nak jatuhkan saya, saya faham. Sebab apa? Sebab kita keras lawan orang yang sakau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Aspirasi MADANI di Paya Rumput, Melaka, semalam.
Anwar turut menolak dakwaan bahawa tindakan penguatkuasaan terhadap individu tertentu merupakan satu bentuk dendam politik atau pendakwaan berniat jahat (malicious prosecution).
Menurutnya, proses siasatan, pendakwaan dan penghakiman dilaksanakan oleh institusi berbeza berdasarkan bidang kuasa masing-masing, bukannya atas arahan peribadi Perdana Menteri.
“Siapa kata kita tangkap orang suka-suka? Ada kes dah lama. Bukan saya kerja tangkap. Kerja siasat, siapa siasat? Polis. Polis, kerja dia siasat. SPRM, itu kerja dia siasat,” katanya.
Beliau menjelaskan, agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertanggungjawab menjalankan siasatan, manakala Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengendalikan perkara berkaitan percukaian.
Sementara itu, keputusan untuk mendakwa seseorang tertuduh pula terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara sebelum kes dibawa ke mahkamah untuk diputuskan oleh hakim.
“Baik. Ada kes, dakwa (prosecute), siapa punya kerja? Itu kerja Peguam Negara, Jabatan Peguam Negara. Bukan saya. Kemudian bawa mahkamah. Yang hakim yang putus,” katanya.
Anwar menegaskan, keputusan mahkamah perlu dihormati, termasuk apabila seseorang tertuduh dibebaskan selepas melalui proses perbicaraan.
“Kalau hakim kata tak salah, tak salah. Ada orang yang kita kata sudah charge, hakim kata tak salah, lepas. Jadi ini sistem kita,” katanya.
Penegasan itu memperlihatkan pendirian Kerajaan MADANI bahawa usaha membanteras rasuah dan penyelewengan perlu dilaksanakan melalui kerangka undang-undang serta institusi yang bertanggungjawab, tanpa mencampuradukkan proses keadilan dengan kepentingan politik.
Dalam masa sama, Anwar mengingatkan bahawa kemajuan negeri dan negara memerlukan pengurusan yang berintegriti, agar hasil pembangunan dapat dinikmati secara lebih adil oleh rakyat dan tidak hanya menguntungkan kelompok tertentu.


