
PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Plenipotentiary Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2026 (ITU PP-26) di Doha, Qatar bermula 6 hingga 11 November ini bagi mempertahankan kerusi negara sebagai Ahli Majlis ITU untuk penggal 2027 hingga 2030.
Penyertaan Malaysia dalam persidangan tertinggi ITU yang berlangsung setiap empat tahun itu penting bagi memastikan suara dan kepentingan negara terus diwakili dalam menentukan hala tuju pembangunan telekomunikasi serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di peringkat global.
Kementerian Komunikasi dalam kenyataan memaklumkan, Jemaah Menteri pada 5 Jun 2025 bersetuju supaya Malaysia bertanding semula bagi kerusi Ahli Majlis ITU, manakala persetujuan supaya Fahmi mengetuai delegasi negara diberikan pada 2 September lalu.
“Pencalonan semula itu membawa mandat untuk memperkukuh penglibatan Malaysia dalam pembentukan dasar telekomunikasi antarabangsa, selain mengadakan libat urus dengan negara anggota bagi mendapatkan sokongan terhadap pencalonan negara.
“Keahlian dalam Majlis ITU membolehkan Malaysia mempunyai suara secara langsung dalam proses membuat keputusan berkaitan sektor telekomunikasi dan ICT global, termasuk pembangunan infrastruktur digital, piawaian teknologi, keselamatan siber serta usaha merapatkan jurang digital,” menurut kenyataan itu.
Majlis ITU yang dianggotai 48 negara berperanan sebagai badan pentadbir antara dua Persidangan Plenipotentiary, termasuk memantau pelaksanaan keputusan persidangan serta meneliti perancangan strategik, kewangan dan program kerja organisasi itu.
Sekiranya dipilih semula, Malaysia berpeluang meneruskan sumbangan dalam pembentukan dasar, peraturan dan piawaian antarabangsa, khususnya berkaitan keserasian teknologi serta pembangunan ekosistem digital yang lebih inklusif dan mampan.
Keahlian itu turut penting dalam memperkukuh diplomasi digital negara, meningkatkan keterlihatan Malaysia di peringkat antarabangsa serta memperluas perkongsian pengalaman dan kepakaran dengan negara anggota lain, khususnya di rantau Asia-Pasifik.
Malaysia mempunyai sejarah penglibatan panjang dalam ITU sejak menjadi negara anggota pada 3 Februari 1958 dan pernah menganggotai Majlis ITU selama empat penggal berturut-turut dari 1998 hingga 2014.
Malaysia kembali menganggotai majlis berkenaan bagi penggal 2023 hingga 2026 menerusi Persidangan ITU PP-22 di Bucharest, Romania.
Pada 9 November ini, Fahmi dijadual menghadiri mesyuarat rasmi ketua delegasi, majlis pembukaan serta sesi plenari ITU, selain menyampaikan kenyataan dasar negara.
Beliau turut dijadual menyertai perbincangan tematik peringkat tinggi bagi membincangkan isu strategik berkaitan pembangunan telekomunikasi dan ICT.
Malaysia juga akan menganjurkan majlis makan tengah hari di lokasi persidangan sebagai platform memperkukuh hubungan diplomatik dengan negara anggota ITU, selain mengetengahkan pencapaian serta sumbangan negara sepanjang penggal 2023 hingga 2026.
Selain agenda rasmi, Fahmi turut dijadual mengadakan pertemuan dengan komuniti Malaysia di Doha sebelum persidangan bermula, termasuk Malaysian Association in Qatar, Malaysian Business Executive Council-Qatar, wakil komuniti serta pelajar Malaysia.
Beliau juga dijangka menghadiri Sukan Malaysia Qatar (SUQMA) yang dianjurkan Malaysian Association of Qatar dengan kerjasama Perwakilan Malaysia di Doha.

