
KUCHING – Pemimpin parti politik dari Semenanjung Malaysia tidak perlu turun berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 kerana pilihan raya berkenaan wajar ditentukan oleh parti tempatan dan rakyat Sarawak sendiri.
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, walaupun amalan demokrasi membenarkan pemimpin politik dari Semenanjung hadir berkempen, beliau berpendapat perkara itu tidak diperlukan dalam pilihan raya negeri kali ini.
Menurutnya, Sarawak mempunyai parti politik tempatan yang boleh menentukan hala tuju dan kepentingan negeri menerusi proses demokrasi.
“Kalau pemimpin Semenanjung daripada parti politik mahu datang pada masa ini, saya rasa tak perlulah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Baitul Makmur II, Petra Jaya, di sini pada Jumaat.
Abdul Karim berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga tidak menghantar pasukan untuk membantu mana-mana parti politik ketika pilihan raya berlangsung di Semenanjung Malaysia.
Menurutnya, pendekatan yang sama wajar dipertimbangkan bagi memberi ruang kepada rakyat Sarawak menentukan sendiri pilihan mereka.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa pendiriannya itu tidak bermaksud semua pemimpin politik Semenanjung dilarang memasuki Sarawak atau mengambil bahagian dalam kempen pilihan raya.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Karim berkata, beberapa kerusi yang ditandingi PBB dijangka menyaksikan kemunculan muka baharu sebagai sebahagian daripada usaha menyediakan pelapis kepimpinan parti.
Menurutnya, keputusan muktamad mengenai pencalonan diserahkan kepada Yang di-Pertua PBB merangkap Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, senarai calon lazimnya hanya diketahui ketika penyampaian watikah kepada calon yang dipilih sebelum hari penamaan calon.
Mengulas kaedah berkempen, Abdul Karim berkata, penggunaan media sosial semakin penting dalam politik, namun pendekatan turun padang dan pertemuan bersemuka tidak boleh diketepikan.
Katanya, pengundi perlu berpeluang menilai sendiri keperibadian, kebolehan serta pendekatan seseorang calon sebelum membuat pilihan.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Disember sebagai hari pengundian PRN Sarawak ke-13, manakala penamaan calon pada 28 November dan pengundian awal pada 8 Disember.


