Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mengesahkan tiada sebarang masalah membabitkan operasi Rangkaian ATM Kongsi (SAN) kendaliannya.
Penafian itu susulan dakwaan pengguna media sosial berhubung gangguan transaksi pengeluaran wang tunai antara bank.
PayNet, yang ditubuhkan pada Ogos 2017 melalui penggabungan Malaysian Electronic Payment System (MEPS) dan MyClear, berkata hasil semakan bersama pasukan dalaman mendapati rangkaian berkenaan beroperasi seperti biasa dan tiada sebarang isu dikesan.
“Kami mengesahkan tiada sebarang masalah dengan SAN yang dikendalikan oleh PayNet dan ia beroperasi seperti biasa.
“Pengguna boleh terus mengakses perkhidmatan perbankan dan melakukan pengeluaran wang tunai antara bank,” katanya kepada Berita Harian.
Isu itu mula mendapat perhatian selepas beberapa hantaran mendakwa berlaku masalah ketika melakukan pengeluaran wang tunai menggunakan kad ATM bank di mesin ATM bank berlainan menerusi rangkaian MEPS.
Antara pengalaman dikongsikan termasuk transaksi mengambil masa terlalu lama, wang tidak dikeluarkan walaupun akaun sudah ditolak serta mesin ATM mengalami kelewatan sebelum transaksi dibatalkan.
Malah, seorang pengguna mendakwa mengalami kehilangan wang sehingga RM1,200 selepas melakukan beberapa percubaan pengeluaran tunai di mesin ATM berbeza.
Pengguna itu mendakwa hanya menyedari wang sudah ditolak daripada akaunnya selepas membuat semakan penyata mini di bank, meskipun transaksi pengeluaran sebelum itu dilaporkan gagal.
Seorang lagi pengguna turut berkongsi pengalaman apabila mesin ATM mengambil masa lebih seminit untuk mengeluarkan wang sehingga menimbulkan kebimbangan kadnya ditelan mesin sebelum transaksi dibatalkan.
Dalam perkongsian sama, pengguna mendakwa dimaklumkan khidmat pelanggan bahawa terdapat masalah membabitkan transaksi MEPS dan disarankan menggunakan mesin ATM bank yang sama dengan bank pengeluar kad.



