
KUCHING – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Disember 2026 sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 yang membabitkan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun mengumumkan ketetapan itu pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR di sebuah hotel terkemuka di Kuching, pada Jumaat.

Menurut jadual yang diumumkan, hari penamaan calon ditetapkan pada 28 November, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 8 Disember.
Penetapan tarikh berkenaan dibuat susulan pembubaran DUN Sarawak Ke-19 yang berkuat kuasa pada 26 Oktober lalu bagi memberi laluan kepada PRN ke-13.
Berdasarkan Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri Sarawak, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.
Dalam perkembangan berkaitan, seramai 2,058,781 pemilih disenaraikan dalam daftar pemilih yang digunakan bagi pilihan raya kali ini.
Jumlah itu merangkumi 2,034,373 pengundi biasa, 13,575 anggota tentera serta pasangan dan 10,833 anggota polis serta pasangan.
SPR turut melantik 82 pegawai pengurus pilihan raya yang dibantu 305 penolong pegawai pengurus bagi menyelaras perjalanan pilihan raya di seluruh Sarawak.
Sebanyak 82 pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya juga akan ditubuhkan bagi memantau aktiviti sepanjang tempoh rasmi berkempen.
Pada PRN Sarawak ke-12 yang berlangsung pada 18 Disember 2021, Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan, manakala Parti Sarawak Bersatu (PSB) memperoleh empat kerusi dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dua kerusi.


